Jumaat, 20 Disember 2019 | 5:09pm
Pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahira. - NSTP/Azhar Ramli
Pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahira. - NSTP/Azhar Ramli

Saya bukan naik aibkan anak sendiri - Sharifah Shahira

KUALA LUMPUR: Pelakon dan personaliti radio, Sharifah Shahirah, tidak mempedulikan kecaman serta permintaan pengikut di laman Instagram yang meminta dia memadamkan perkongsian keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) anak lelakinya, Airell Zulkifly, yang dimuat naik, semalam.

Airell yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati memperoleh A bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, D bagi Bahasa Melayu, Bahasa Melayu (lisan), Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Reka Bentuk dan Teknologi serta F untuk Sejarah dan Geografi.

Sharifah Shahirah atau Shira ketika dihubungi BH Online berkata, niatnya berkongsi keputusan Airell bukan untuk mengaibkan anak sendiri, sebaliknya sekadar berkongsi realiti kehidupan.

“Sesetengah ibu bapa mungkin malu untuk berbuat demikian, namun berbeza dengan saya yang tetap berbangga dengan setiap pencapaian anak-anak, asalkan mereka membesar menjadi insan berguna dan tahu menghormati orang.

"Kalau boleh, semua ibu bapa mahukan anak mereka cemerlang dalam pelajaran. Tetapi, kita perlu bersikap realistik. Saya tidak suka memaksa. Bagi saya, apa sahaja keputusan anak saya dapat, saya terima dengan hati terbuka.

“Sebelum ini, saya pernah berkongsi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adiknya, Airra, pada November lalu. Jadi, saya rasa perlu untuk berkongsi keputusan Airell juga bagi berlaku adil,” katanya.

Keputusan PT3 Airell yang dikongsi Sharifah Shahira di laman sosial Instagramnya, semalam. - Foto Instagram Sharifah Shahira
Keputusan PT3 Airell yang dikongsi Sharifah Shahira di laman sosial Instagramnya, semalam. - Foto Instagram Sharifah Shahira

Menurut Shira yang turut dikenali sebagai pengacara, anaknya tidak kisah, malah tahu dia akan berkongsi keputusan berkenaan.

“Airell lebih kisah jika dia tidak dapat barang yang diingini daripada setakat berkongsi keputusan peperiksaannya.

“Saya pula tidak berniat pun hendak memalukan dirinya. Secara jujurnya, saya sendiri pun tidaklah cemerlang sewaktu zaman sekolah. Keputusan yang saya peroleh lebih kurang sama sahaja dengan apa yang dicapai anak,” kata Shira.

Berharap masyarakat tidak menghina Airell, pelakon itu berkata, dia mungkin terikut-ikut dengan sikap ibunya yang tak suka menyorokkan keputusan peperiksaan anaknya.

"Ibu saya dahulu pun tidak suka sorok apa juga keputusan anaknya. Jika saudara mara bertanya mengenai keputusan peperiksaan kami adik-beradik, ibu akan berterus-terang dan tidak malu berbuat demikian.

“Lagipun, emosi setiap orang berbeza dan saya hanya cuba menjadi diri sendiri. Saya tidak tahu berlakon menjadi orang lain," katanya.

Berita Harian X