Isnin, 23 Disember 2019 | 9:00am
Shiha meminta restu Krisdayanti untuk merakamkan single Pilihlah Aku dalam versi dangdut. Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Shiha meminta restu Krisdayanti untuk merakamkan single Pilihlah Aku dalam versi dangdut. Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

'KD beri izin'

KUALA LUMPUR: Tanpa restu, mana mungkin projek merakamkan lagu yang dipopularkan bintang nama besar seperti Krisdayanti mampu direalisasikan.

Itulah yang dilakukan penyanyi Shiha Zikir apabila menghubungi Krisdayanti atau lebih dikenali sebagai ‘KD’ untuk meminta keizinan merakamkan semula lagu Pilihlah Aku milik diva tersohor itu dalam versi dangdut.

Shiha yang mengembangkan karier di Indonesia selepas menyertai program realiti, D’Academy Asia, bersyukur mendapat kebenaran dan restu Krisdayanti untuk merakamkan single hit itu.

“Semuanya bermula selepas saya dipelawa syarikat rakaman, MicProject dan komposer lagu Pilihlah Aku untuk merakamkannya semula dalam versi dangdut.

“Meminati Krisdayanti, saya terima pelawaan itu dan mencabar diri,” katanya kepada BH Online.

Rakaman semula single Pilihlah Aku yang dilancarkan dalam platform digital semalam, adalah projek kerjasama syarikat rakaman, Todak Music Malaysia dan MicProject.

Shiha berkata, dia melayangkan mesej melalui WhatsApp kepada Krisdayanti bagi menyatakan hasrat itu.

“Kridayanti membalas dan memberitahu, dia tidak keberatan. Malah, dia berharap saya dapat membawakan lagu itu dengan cara sendiri.

“Dia juga mengucapkan selamat maju jaya dan berharap semuanya lancar,” katanya.

Shiha mengaku gementar ketika kali pertama berada dalam studio untuk merakamkan lagu berkenaan.

“Saya sangat gementar dan pelbagai persoalan bermain dalam fikiran. Mampukah saya membawa lagu ini dengan versi lain?” katanya.

Tambah Shiha, single Pilihlah Aku dirakamkan di sebuah studio di Jakarta, Ogos lalu.

“Lagu itu dirakamkan dalam tempoh singkat. Setibanya dari Kuala Lumpur, saya terus mulakan proses rakaman sehingga beberapa jam.

“Namun, proses itu bukan mudah. Buat kali pertama, saya rasa gementar. Hampir rasa putus asa kerana tak dapat menyanyikan lagu itu seperti dimahukan.

“Saya fikir prosesnya mudah. Namun, perkara sebaliknya berlaku. Muziknya dangdut tetapi gaya nyanyian seperti biasa. Selepas diberi semangat termasuk sokongan guru vokal, Joel Kriwil, proses rakaman berjaya disempurnakan,” katanya.

Berita Harian X