Isnin, 23 Disember 2019 | 1:00pm
Saharul terharu isteri masih mengambil berat mengenai dirinya biarpun dijangkiti demam panas sehingga dimasukkan ke hospital. Foto NSTP/Mahzir Mat Isa
Saharul terharu isteri masih mengambil berat mengenai dirinya biarpun dijangkiti demam panas sehingga dimasukkan ke hospital. Foto NSTP/Mahzir Mat Isa

Isteri 'jaga' perut Saharul

KUALA LUMPUR: Pelakon sasa, Saharul Ridzwan terharu isteri, Qaabila Deena Emir yang hamil empat bulan, masih mengambil berat mengenai dirinya biarpun dijangkiti demam panas.

Berkongsi pengalaman, Saharul berkata, isterinya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, masih bertanya apakah dia sudah bersarapan ketika hendak dimasukkan ke wad, minggu lalu.

“Isteri tidak boleh tidur semalaman tapi dia tidak mahu kejutkan saya. Apabila bangun subuh, baru dia meminta carikan ais sebab badannya terlalu panas.

“Saya pegang kepalanya dan terasa panas. Lalu, tanpa bertangguh, saya terus bawa ke pusat perubatan. Ketika hendak mendaftar masuk, banyak kali isteri bertanya apakah saya sudah bersarapan.

“Waktu sakit-sakit pun dia masih ingat ‘perut’ suaminya,” katanya memuji isteri kesayangan melalui entri yang dimuat naik di laman sosial.

Gambar fail, Pelakon, Saharul Ridzwan, 27, (kiri) bersama pasangannya Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, 28 pada majlis perkahwinan Saharul Ridzwan dan Deena Emir yang diadakan di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya pada 2016. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Saharul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 30, berkata, isterinya mula demam sejak Jumaat lalu disebabkan jangkitan kuman.

Namun, tambah pelakon drama 30 Pesanan Suara itu, bayi dalam kandungan tidak terjejas.

Saharul berkata, Qaabila mengalami alahan yang agak teruk berbanding ketika hamil anak sulung.

“Deena dimasukkan wad Jumaat lalu selepas suhu badannya mencecah hampir 40 darjah selsius. Alhamdulillah, keadaannya semakin pulih sekarang,” katanya.

Saharul memohon orang ramai mendoakan kesihatan isteri dan anak yang dikandung.

“Semoga Allah memberikan kemudahan dan kesihatan yang baik pada isteri dan bayi dalam kandungan,” katanya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 16 September 2016. Mereka dikurniakan cahaya mata, Muhammad Luth Ali yang berusia dua tahun.

Berita Harian X