Sabtu, 28 Disember 2019 | 9:00am
Aina mengaku pernah dilanda kemurungan akibat karier seni yang suram, suatu ketika dahulu. Foto NSTP/Aziah Azmee
Aina mengaku pernah dilanda kemurungan akibat karier seni yang suram, suatu ketika dahulu. Foto NSTP/Aziah Azmee

'Malulah, bukan sombong'

KUALA LUMPUR: Bukan mudah untuk penyanyi Sumpah ini kembali mencipta nama.

Entah di mana silapnya, selepas program realiti, Mentor Legend melabuhkan tirai lima tahun lalu, karier seni, Aina Abdul, terkubur sama.

Tidak hairanlah, dalam tercari-cari arah, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini mengalami kemurungan.

Kini, ketika single ciptaannya, Sumpah, meledak, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 26, bimbang andai langkah tersasar lagi, sekali gus mengancam karier yang baru melonjak.

Akui Aina, trauma dan rasa bimbang itu menjadikan dirinya pasif. Aina kurang keyakinan diri untuk bergaul dengan rakan artis hingga dituduh sombong.

“Mereka yang tidak kenal saya mungkin menganggap diri ini sombong. Ini kerana saya pendiam.

“Saya bukan sombong tetapi pemalu. Saya sedang berusaha mengikis perasaan itu. Apabila dikelilingi insan hebat dalam industri, saya sentiasa rasa diri ini terlalu kerdil.

“Saya tidak tahu apa yang hendak dibual dan sering bimbang tersalah topik,” katanya kepada BH Online.

Aina berkata, orang lain mungkin perlu kenal dirinya dengan lebih mendalam sebelum membuat kesimpulan.

“Mungkin dakwaan itu timbul kerana mereka belum kenal siapa Aina,” katanya.

Merenung pencapaiannya sepanjang tahun ini, Aina mengaku perjalanannya sangat sukar.

“Untuk saya berada ke tahap ini dan berpeluang melangkah ke Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, bukan mudah.

“Jadi, saya mengelak daripada bermusuh dengan sesiapa. Saya tidak mahu membunuh kerjaya sendiri.

“Andai terjadi perkara sedemikian, saya tidak akan membesar-besarkan masalah. Saya lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri,” katanya yang bimbang andai tersalah kata bisa memakan diri.

Sementara itu, Aina yang meraih trofi naib juara Mentor Legend mendedahkan pernah ditegur senior dalam industri muzik agar belajar bergaul dengan rakan sealiran.

Aina berkata, dia cuba bersikap lebih mesra, malah sering diingatkan pegawai perhubungan awam (PRO) agar sentiasa senyum, bertegur sapa dan bersalaman dengan artis lain.

Selain memperbaiki skil komunikasi, Aina bimbang lupa diri apabila semakin dikenali.

“Saya paling takut jika lupa diri. Saya tidak mahu jadi bongkak. Sebelum orang perasan perubahan sikap saya, biarlah keluarga menegur terlebih dulu.

Saya bersyukur mempunyai keluarga yang tegas. Ibu dan abang adalah insan yang sentiasa menegur kesilapan. Saya perlukan mereka dalam hidup supaya dapat terus berada pada landasan betul,” katanya.

Mahu terus berkarya untuk diri sendiri, Aina berkata, biarpun ada penyanyi berminat mendapatkan lagu ciptaannya, namun, belum ada yang benar-benar serius.

Aina yang menjadi protege Ella dalam program Mentro Legend, mengaku berniat mencipta lagu untuk mentornya itu, namun, sedar masanya belum tiba.

Selain Ella, Aina berhasrat menghasilkan lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Perjalanan saya masih jauh. Saya mahu asah bakat mencipta lagu sebelum berkolaborasi dengan penyanyi hebat sepert Ella dan Siti Nurhaliza,” katanya.

Berita Harian X