Sabtu, 28 Disember 2019 | 1:13pm
Pasangan pelakon, Amyra Rosli dan Amar Baharin, bersama Aqeef Anaqi ketika majlis pengumuman jantina bakal anak kedua mereka di Bangsar. - NSTP/Mustaffa Kamal

Hamil anak perempuan, Amyra ketagih kemas rumah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Amyra Rosli, 28, berasa pelik apabila dirinya taasub dengan aktiviti mengemas rumah sepanjang mengandungkan anak kedua.

Katanya, berbeza dengan pengalaman ketika hamil anak pertama, Aqeef Anaqi, tabiatnya kali ini sangat berbeza.

“Saya tidak tahu bagaimana tabiat dan karakter itu boleh berubah sebegitu sekali sehingga menjadi ‘obses’ mengemas rumah. Sampaikan suami marah kerana saya melakukan kerja berat ketika sarat hamil. Mungkin gara-gara pembawaan anak perempuan, ia membuatkan saya kerap mengemas.

“Malah, saya juga seperti ketagih makanan manis sehingga berat badan naik mencecah 53 kilogram. Ketika mengandungkan Anaqi dahulu, saya mencari apa-apa yang masin, kini setiap hari mahu benda manis. Cuma, saya harus berhati-hati kerana tidak mahu terkena penyakit lain pula nanti.

“Saya juga pernah berdepan pengalaman tidak boleh ke dapur selama sebulan kerana alahan dengan bau ketumbar. Semuanya gara-gara Amar tersalah beli daun terbabit, sedangkan saya memintanya mendapatkan daun sup. Maklumlah, kedua-duanya seakan-akan sama. Saya sendiri pelik apabila tidak boleh menghidu bau herba itu pada kehamilan kali ini,” kata Amyra.

Bintang drama popular Nur itu mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Amar Baharin, pada November 2016. Mereka dikurniakan anak sulung pada 15 Oktober 2017.

Sebelum ini, Amar berkongsi berita gembira bakal menerima cahaya mata kedua dengan memuat naik foto isterinya bersama alat ujian kehamilan di Instagram, Julai lalu.

Malah, Amar turut menyifatkan berita kehamilan itu sebagai hadiah paling bermakna sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-34.

“Saya sama sekali tidak menyangka Amyra hamil anak perempuan kerana cara dia memberikan bayangan seolah-olah kami bakal menimang seorang lagi putera.

“Alhamdulillah. Doa kami dimakbulkan kerana sama seperti pasangan lain, pastinya saya dan isteri mahu anak perempuan pula selepas dianugerahkan cahaya mata lelaki, sebelum ini

“Namun, andai kata dikurniakan anak lelaki juga, kali ini, kami berdoa supaya si kecil lahir sihat dan semuanya dipermudahkan buat Amyra. Mengikut jangkaan, kali ini berat bakal anak kami mungkin boleh mencecah sehingga tiga kilogram,” kata Amar.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X