Isnin, 30 Disember 2019 | 11:05am
RAJA Ema tidak pernah kesal tinggalkan dunia seni ketika nama masih di puncak. - Foto Nurul Shafina Jemenon
RAJA Ema tidak pernah kesal tinggalkan dunia seni ketika nama masih di puncak. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Tak cemburu teman seangkatan masih bertahan

KUALA LUMPUR: Zaman remajanya tidak dinikmati seperti gadis lain kerana pada usia belasan tahun, Raja Ema sudah meniti populariti sebagai penyanyi dan bintang filem.

Penyanyi lagu Jejaka Idaman dan Angan Angan itu bagaimanapun, tekad meninggalkan dunia glamor selepas mendirikan rumah tangga pada usia 24 tahun.

Dunia seni ditinggalkan dengan kerelaan hati untuk memberikan tumpuan terhadap keluarga, terutama dua anaknya, Putera Ammar, 24, dan Putera Alqashah, 22.

Hanya selepas 15 tahun, pelakon filem Sayang, Mawar Merah dan Cikgu Romantik yang kini berusia 51 tahun itu kembali membintangi drama, filem dan menghasilkan single.

“Saya tidak pernah menyesali takdir apabila meninggalkan dunia seni ketika nama berada di puncak. Saya pilih untuk mengabdikan diri kepada keluarga, walaupun perkahwinan saya musnah di pertengahan jalan.

“Cukuplah saya menghabiskan masa remaja dengan bekerja. Apabila berkahwin, saya tidak mahu anak terabai kerana kesibukan.

“Saya puas hati melihat anak membesar depan mata, walaupun terpaksa melepaskan dunia yang sangat saya cintai,” katanya.

Bintang Harapan Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) 1987 itu berkata, dia tidak pernah terasa hati apabila melihat teman seperjuangan lain masih hebat di pentas lakonan.

“Saya terima hakikat, zaman saya sudah berlalu. Saya kembali berlakon dan menyanyi bukan kerana mengejar populariti, sebaliknya hanya untuk mencari rezeki.

“Saya tidak menyangka apabila membuat kemunculan semula pada 2012, peminat masih mengingati dan memberikan sokongan, biarpun sudah lama menyepikan diri.

“Saya turut melihat satu lagi peluang yang tidak pernah saya nampak sebelum ini iaitu berniaga. Sambil menyanyi dan berlakon, saya mula mengatur langkah dalam dunia perniagaan,” katanya.

Bermula dengan tawaran sebagai duta beberapa jenama, Raja Ema memberanikan diri mengeluarkan produk sendiri.

Pernah memperkenalkan produk pelangsingan badan, baju tidur dan bengkung, kini dia berniaga makanan iaitu acar buah resipi turun temurun keluarga.

“Saya pada mulanya berniaga acar buah sepanjang Ramadan lalu di Singapura. Bagaimanapun, saya masih menerima banyak tempahan selepas pulang ke ibu negara hingga tidak menang tangan menyiapkannya setiap hari,” katanya.

Raja Ema berkata, jika tiada undangan menyanyi, dia akan sibuk di dapur menyiapkan sendiri tempahan kerana mahu peminat puas menikmati air tangannya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X