Isnin, 30 Disember 2019 | 5:10pm
AZLEE mengelak daripada menjawab persoalan mengenai kehidupan peribadi kerana tidak mahu ia menjadi bualan umum. - Foto Aziah Azmee
AZLEE mengelak daripada menjawab persoalan mengenai kehidupan peribadi kerana tidak mahu ia menjadi bualan umum. - Foto Aziah Azmee

'Kembali solo? Saya tak mahu sakitkan hati sesiapa'

KUALA LUMPUR: Kemunculan semula pelakon Azlee Khairi selepas lima tahun menyepikan diri mencetus pelbagai spekulasi, malah keputusannya kembali aktif dikatakan berpunca daripada masalah yang melanda rumah tangganya.

Namun, Azlee yang mencetus fenomena menerusi drama Love You Mr Arrogant bersama Zara Zya pada 2013 mengambil pendirian untuk tidak menjawab persoalan itu.

Baginya, tidak ada apa yang perlu dikongsi mengenai kehidupan peribadi, malah Azlee, 30, lebih selesa khalayak memberikan fokus terhadap kerjaya seni yang baru dibina semula.

“Saya tidak mahu menyakiti sesiapa dan biarlah status perkahwinan saya menjadi rahsia. Ketika ini, saya mahu terlebih dahulu memberi fokus terhadap peluang kedua yang diberikan.

“Azam saya untuk terus memajukan diri dalam bidang lakonan, malah berharap kedatangan tahun baharu akan membuka lebih banyak peluang besar. Soal peribadi tidak perlu menjadi perhatian,” katanya.

Azlee sebelum ini mengambil keputusan meninggalkan kerjaya seni dan menetap di Brunei Darussalam selepas mendirikan rumah tangga dengan Dayang Norlelawati Puteh pada 2014.

Akuinya, peluang yang kembali terbentang membuatkan dia enggan lagi mensia-siakan kepercayaan yang diberikan.

“Ini masa terbaik untuk saya atur semula langkah dan strategi baharu supaya terus bertahan dalam industri hiburan.

“Selama menyepi, saya banyak muhasabah diri dan saya akui, minat berlakon tidak pernah pudar. Ia sebaliknya semakin membara dan itu yang membuatkan saya kembali apabila peluang ada di depan mata,” katanya.

Drama Seadanya Aku terbitan Country Universal Sdn Bhd untuk slot Akasia TV3 yang bakal disiarkan bulan depan menjadi taruhan pertama Azlee untuk menaikkan semula namanya.

Ketika ini, Azlee sibuk di lokasi penggambaran drama Maaf Tak Indah untuk slot Samarinda juga siaran TV3.

Berita Harian X