Selasa, 31 Disember 2019 | 11:05am
BIARPUN berdepan dugaan, Muna Shahirah bersyukur 2019 mencatat kejayaan manis buat dirinya. - Foto Zunnur Al Shafiq
BIARPUN berdepan dugaan, Muna Shahirah bersyukur 2019 mencatat kejayaan manis buat dirinya. - Foto Zunnur Al Shafiq

Muna Shahirah 'sakit' gara-gara putus cinta

KUALA LUMPUR: Tindakan penyanyi Muna Shahirah yang meminta pengikut di laman Instagram (IG) menitikberatkan kesihatan mental menimbulkan persoalan apakah dirinya sedang berdepan tekanan.

Spekulasi itu bertambah kuat apabila dia memuat naik rakaman sedang menangis menerusi IG Story, baru-baru ini, selain berat badannya susut mendadak sehingga enam kilogram seminggu.

Namun, kata Muna, situasi yang dialaminya itu tiada kaitan dengan tekanan atau kerisauan melampau, sebaliknya mengakui, dia sedang berdepan masalah peribadi.

“Ia berpunca daripada perasaan bersalah terhadap syarikat rakaman, FMC Music dan keluarga apabila lagu Teguh Setia gagal layak ke final Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34.

“Saya tahu mereka mengharapkan lagu itu melangkah ke final, tetapi kami terpaksa akur dengan keputusan juri,” katanya.

Muna berkata, pada masa sama, dia turut diduga dengan masalah putus cinta apabila hubungan dengan jejaka yang juga seorang selebriti berakhir di tengah jalan selepas hampir setahun bercinta.

“Siapa jejaka itu tidak perlu saya kongsi. Siapa yang tahu, tahulah. Walaupun hubungan kami tidak lama, ia tetap memberi kesan pada diri.

“Dua masalah yang datang bertimpa pada satu masa menyebabkan saya sering mengalami masalah sukar bernafas, terutama ketika hendak melelapkan mata.

“Apabila saya berkongsi kesedihan di laman sosial, ada pula pihak yang menghantar mesej langsung (DM) dan menganggap saya membuat gimik untuk mempopularkan single terbaru, Suratan Luka.

“Ia langsung tiada kaitan, cuma kebetulan lagu itu keluar ketika saya sedang berhadapan dengan masalah,” kata Muna kepada BH Online.

Bercerita mengenai kerjaya seninya, Muna berpuas hati kerana 2019 meninggalkan kenangan cukup manis.

Meskipun gagal mara ke final AJL, gadis berasal dari Mersing, Johor itu tetap menganggap ia kejayaan terbesar dalam kerjaya nyanyiannya.

Selain itu, Muna juga gembira apabila single ketiganya yang baru dilancarkan seminggu lalu itu mencatat lebih 140,000 tontonan.

Lagu itu bakal dijadikan runut bunyi (OST) drama terbaru terbitan Datuk A Aida yang dijangka menemui penonton tahun depan.

“Alhamdulillah, baru seminggu dilancarkan, Suratan Luka sudah mencecah lebih 100,000 tontonan. Bagi penyanyi baharu seperti saya, ia sesuatu yang membanggakan dan saya berharap angka itu akan meningkat apabila dijadikan OST kelak,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X