Selasa, 31 Disember 2019 | 8:24pm
FIZZ yang bakal menimang cahaya mata keempat berdoa dikurniakan anak lelaki. - Foto IG Fizz Fairuz
FIZZ yang bakal menimang cahaya mata keempat berdoa dikurniakan anak lelaki. - Foto IG Fizz Fairuz

Isteri hamil lagi, Fizz Fairuz harap dapat anak lelaki

KUALA LUMPUR: Ketika 2019 menanti detik untuk berlabuh, pelakon Datuk Fizz Fairuz, berkongsi berita gembira bakal menimang cahaya mata keempat apabila memaklumkan, isterinya kini hamil sembilan minggu.

Fizz atau nama penuhnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 39, berkata, meskipun usia kandungan isterinya, Almy Nadia masih terlalu awal, dia sedia berkongsi perkara itu sebagai tanda syukur atas rezeki yang dikurniakan Allah.

“Alhamdulillah, Allah memberikan rezeki untuk saya dan isteri menambah bilangan ahli keluarga. Biarpun usia kandungan isteri masih terlalu awal, kami sangat menghargai kurniaan Allah ini.

“Jadi, saya sedia berkongsi dengan umum, terutama peminat yang sentiasa menyokong dan mendoakan kebahagiaan keluarga kami,” katanya.

Sementara itu, Fizz berkata, selepas mempunyai tiga cahaya mata perempuan, dia berharap dikurniakan pula anak lelaki. Dia bagaimanapun, enggan meletak harapan terlalu tinggi.

“Memandangkan saya sudah ada tiga anak perempuan, tentu seronok jika zuriat yang bakal dilahirkan nanti lelaki.

“Apapun, saya tidak kisah sama ada dikurniakan anak lelaki atau perempuan. Asalkan kedua-dua ibu dan anak sihat, ia sudah cukup membuatkan saya gembira,” kata Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian, Anugerah Skrin (ASK) 2019 itu.

Tambah Fizz, dia dan Almy sememangnya berharap dikurniakan zuriat yang ramai kerana baginya, kehadiran mereka dianggap sebagai pembuka rezeki.

Fizz dan Almy atau nama sebenarnya Ungku Almy Nadia Ungku Aminuddin Shah mendirikan rumah tangga pada 26 April 2014.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nur Afrina Arianna, 4, Nur Afrina Aurora, 3, dan Nur Afrina Ayra yang kini berusia setahun, selain anak angkat, Nur Afrina Darwisyah, 10.

Berita Harian X