Ahad, 5 Januari 2020 | 8:01am
Pelakon dan penerbit, Liyana Jasmay. - NSTP/Azhar Ramli
Pelakon dan penerbit, Liyana Jasmay. - NSTP/Azhar Ramli

Liyana tak serik filem sulung hanya pungut RM9,185.50

KUALA LUMPUR: Walaupun hanya mampu memungut RM9,185.50 menerusi Bella & Jamie, Liyana Jasmay tidak serik untuk terus menghasilkan filem.

Bercakap kepada BH Online, Liyana yang juga pemilik Mermaid Studios tidak menganggap sambutan dingin diberikan terhadap filem lakonannya bersama Juliana Evans itu sebagai kegagalan, sebaliknya ia berpunca daripada pemasaran yang lemah.

“Tiada istilah serik bagi saya apabila Bella & Jamie kurang mendapat sambutan di pawagam. Sebaliknya, ia menjadi pengajaran buat kami supaya tidak memandang remeh aspek pemasaran dan promosi.

“Saya percaya, jika kami mendapatkan pasukan pemasaran dan pengedaran yang baik, ia tentu dapat menarik penonton ke pawagam,” katanya yang berazam untuk tidak mengulangi kesilapan sama bagi projek filem terbarunya, Reunion, tidak lama lagi.

Filem sulung terbitan Liyana itu menemui penonton di pawagam pada 31 Januari tahun lalu.

Kutipan dilakukan Bella & Jamie adalah yang terendah sepanjang 2019 bagi judul tempatan, seperti dikongsi oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Juliana Evans dan Liyana Jasmay pada majlis pratonton Bella & Jamie di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Januari tahun lalu. - NSTP/Azhar Ramli
Juliana Evans dan Liyana Jasmay pada majlis pratonton Bella & Jamie di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Januari tahun lalu. - NSTP/Azhar Ramli

Bagi filem kedua terbitan Mermaid, Liyana, 31, yang akan turut bertindak sebagai pengarah berkata, dia teringin untuk menjalinkan kerjasama bersama syarikat lain.

“Saya belum boleh mendedahkan secara terperinci mengenai filem yang bakal diterbitkan itu. Cuma, ia akan memulakan penggambaran pada Jun atau Julai nanti.

“Kali ini, kami tidak mahu mengulang kesilapan sama. Jadi, kami sedang berusaha mencari syarikat yang sudi untuk melabur dalam projek terbaru ini.

“Kalau boleh, saya mahukan syarikat yang bukan sekadar mempercayai cerita dihasilkan oleh kami, malah turut percayakan kemampuan saya sendiri,” katanya sambil mengakui gementar untuk bergelar pengarah buat julung kali.

Bagaimanapun, kata Liyana, dia beruntung apabila sutradara terkenal, Bade Azmi, banyak membantunya ketika dia memerlukan nasihat berkaitan perkara itu.

“Saya juga sudah menganggap ‘Uncle’ Bade seperti keluarga sendiri dan berasa cukup beruntung kerana hanya dengan satu panggilan telefon, dia akan memberikan pelbagai pengisian berguna,” kata Liyana.

Berita Harian X