Khamis, 9 Januari 2020 | 2:24pm
Dira terpaksa meninggalkan dua anaknya, Anggun dan Iskandar (didukung) bagi menyertai misi kemanusiaan di Syria. Foto Ihsan Dira Abu Zahar
Dira terpaksa meninggalkan dua anaknya, Anggun dan Iskandar (didukung) bagi menyertai misi kemanusiaan di Syria. Foto Ihsan Dira Abu Zahar

Dira 'terbang' ke Syria tunai impian

KUALA LUMPUR: Sudah lama menyimpan niat dan sudah tahu ‘jalan’, Dira Abu Zahar tidak bertangguh lagi merealisasikan impian menyertai misi kemanusiaan.

Tengah malam tadi, Dira atau nama sebenarnya, Khaidirah Abu Zahar, 35, bersama 11 anggota sukarelawan Yayasan Afdlin Shauki, Yayasan Kubra dan Sadaqah Centre berangkat ke Syria bagi menghantar bantuan dalam misi musim sejuk.

Dira memberitahu, sebelum ini, dia tidak tahu prosedur untuk menyertai misi kemanusiaan sehinggalah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp yang diutuskan Afdlin, baru-baru ini.

“Penyertaan saya dalam misi ini adalah kebetulan. Saya terima mesej Afdlin yang memaklumkan mengenai pencarian dana untuk misi ini.

“Lantas saya ambil kesempatan untuk bertanya bagaimana jika saya mahu turut sama dalam misi dan membantu sekadar yang mampu.

“Sudah lama saya teringin menyertai misi kemanusiaan tetapi tidak jumpa ‘jalan’. Bukan saya tidak mahu bantu rakyat Malaysia, tetapi saya ingin melihat kesengsaraan rakyat Syria yang sering menjadi tajuk berita sekarang,” katanya kepada BH Online.

Dira berkata, sumbangan sebanyak RM340,000 akan digunakan untuk membeli pelbagai keperluan seperti selimut, bakar bahan dan bakar untuk diagihkan. Barangan itu akan dibeli di Syria bagi memudahkan urusan logistik.

Kali pertama menyertai misi kemanusiaan di luar negara, Dira tidak menafikan dirinya gementar.

“Sedikit rasa risau tentulah ada. Ini kerana kita bukan pergi bercuti atau bersuka ria.

“Apatah lagi kami pergi ke tempat bergolak. Malah, ada rakan prihatin bertanya sama ada saya membuat keputusan betul. Apatah lagi, Iran sedang tegang.

“Insya-Allah, kami akan dijaga dengan baik dan menggunakan prosedur betul. Semoga segala-galanya dipermudahkan,” katanya.

Dira berkata, misi itu turut disertai Afdlin dan beberapa anggota sukarelawan yang pernah beberapa kali berangkat ke Syria mengagih bantuan.

“Jadi saya yakin dengan pengalaman mereka,” katanya.

Berikutan cuaca di Syria yang dilaporkan sangat sejuk, Dira sudah bersedia dengan bekalan ubat.

Ditanya perasaan meninggalkan dua cahaya mata, Tengku Anggun Deandra, 13 dan Waris Iskandar Andiqa, 1 tahun, Dira mengaku risau.

Namun, tambah Dira, anak sulungnya mendoakan dirinya selamat sepanjang berada di Syria.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X