Jumaat, 10 Januari 2020 | 1:30pm
Penyanyi latar terkenal India, Shreya Ghoshal, akan mengadakan konsert di Kuala Lumpur, bulan depan. - Foto Instagram Shreya Ghoshal
Penyanyi latar terkenal India, Shreya Ghoshal, akan mengadakan konsert di Kuala Lumpur, bulan depan. - Foto Instagram Shreya Ghoshal

Penyanyi latar terkenal India bakal gegar KL

KUALA LUMPUR: Penyanyi latar terkenal India, Shreya Ghoshal, 35, teruja menjadi artis Bollywood pertama membuka tirai persembahan di ibu kota, tahun ini.

Dia akan menemui peminat dalam konsert Shreya Ghoshal Live In Malaysia 2020 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 23 Februari depan.

“Sebenarnya, sejak lebih setahun lalu saya diintai oleh penganjur, Hitman Solutions. Namun, dek kesibukan jadual seni, perancangan mengadakan persembahan di sini terpaksa dilupakan seketika.

“Saya sangat teruja apabila perancangan mereka akhirnya bakal terlaksana. Apatah lagi saya dimaklumkan, penggemar filem Hindi dan Tamil di negara ini amat ramai.

“Menjadi artis Bollywood pertama menjayakan persembahan di Malaysia pada 2020 pula adalah penghormatan cukup besar untuk saya,” katanya ketika sesi temu bual menerusi Skype, di sini.

Penyanyi itu juga tidak keberatan untuk mendendangkan lagu berbahasa Melayu pada persembahan berkenaan.

“Semestinya saya mahu menyanyikan lagu Melayu jika sempat berlatih. Saya amat berbesar hati untuk menjadikan konsert itu lebih manis dengan menyanyikan lagu Melayu.

“Saya juga mahu bertemu dengan artis tempatan jika ada kesempatan berbuat demikian,” katanya.

Memiliki 16.9 juta pengikut di Instagram dan merakamkan puluhan lagu untuk runut bunyi serta album dalam pelbagai dialek, Shreya antara penyanyi latar utama dalam industri perfileman India ketika ini.

Sepanjang kerjayanya, dia dicalonkan sebanyak 494 kali dan memenangi 150 anugerah, termasuk National Film Awards, Kerala State Film Awards, Tamil Nadu State Film Awards dan Filmfare Awards.

Bagi peminat yang ingin berhibur dengannya, mereka boleh mendapatkan tiket dengan melayari www.myticket.asia.

Berita Harian X