Selasa, 14 Januari 2020 | 10:30am
Ben mengucapkan tahniah kepada Nadiyah yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang selepas tujuh tahun. Foto Ihsan Ben Amir

'Tak sampai hati tengok isteri menangis'

KUALA LUMPUR: Detik melihat isteri menangis berdepan tekanan menamatkan pengajian, cukup memberi kesan mendalam kepada Ben Ali.

Bersyukur Nadiyah Shahab akhirnya menggenggam ijazah undang-undang dengan mendapat kepujian kelas kedua dari University of London, Singapura, Ben tersentuh hati mengenangkan pengorbanan isteri.

“Biarpun mengambil masa tujuh tahun untuk menghabiskan pengajian, penantian itu cukup berbaloi. Apa yang dilakukan isteri adalah untuk keluarga, bukan dirinya.

“Seisi keluarga meletakkan harapan tinggi agar Nadiyah berjaya dalam bidang akademik. Apatah lagi, di Singapura, soal pendidikan amat diutamakan.

“Saya selalu memikirkan untuk dirinya memberi tumpuan kepada perniagaan, dunia lakonan dan pengajian bukanlah mudah. Tidak cukup itu, dia juga perlu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.

“Sering saya lihat isteri menangis kerana tertekan... Macam mahu putus asa pun ada. Kita jadi kasihan melihatnya. Malah, saya pernah beritahu, jika tak mampu teruskan pengajian, tidak mengapa. Mungkin ada rezeki di tempat lain.

“Namun, Nadiyah tidak mengalah. Dia berjaya membuktikan kesungguhan dirinya hingga bergelar graduan,” katanya kepada BH Online.

Khamis lalu, Nadiyah memperoleh ijazahnya pada majlis konvokesyen di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Ben berkata, Nadiyah berusaha menamatkan pengajian demi memenuhi impian keluarga yang berhabis-habisan dalam membiayai kos pembelajaran sejak tujuh tahun lalu.

“Keluarga termasuk ibu, datuk dan neneknya bertungkus-lumus memastikan Nadiyah tamat pengajian,” katanya.

Sementara itu, Nadiyah bersyukur akhirnya bergelar graduan dan pada masa sama, melakukan banyak perkara serentak termasuk menikahi Ben.

“Saya mengaku bergelut berulang-alik ke Singapura setiap bulan untuk mengumpul nota pembelajaran dan membahagikan masa antara lakonan, pengajian dan suami,” katanya.

Ben dan Nadiyah bernikah pada 10 November 2018 di Singapura.

Nadiyah mula mengasah bakat lakonan di Malaysia sejak 2017 melalui drama Encik Suami Mat Salih Celup yang diterajui Daler Yusuf dan Nelydia Senrose.

Nama Nadiyah makin dikenali selepas memegang watak antagonis, Tengku Natasha dalam drama Lafazkan Kalimah Cintamu.

Berita Harian X