Selasa, 14 Januari 2020 | 4:49pm
Penyanyi, Ameer Forteen, bakal bergelar bapa pada Mac depan. - NSTP/Aziah Azmee

Ameer rahsiakan jantina anak sulung

KUALA LUMPUR: Dijangka bergelar bapa buat kali pertama pada Mac depan, anggota Forteen, Ameer, belum bersedia berkongsi jantina bakal cahaya mata sulung.

Sebaliknya, Ameer atau nama sebenarnya Mohd Arif Ameerais Azhar, 30, lebih selesa membiarkan ia menjadi kejutan apabila isterinya, Siti Nurnaja’a Shamsul Kamar, selamat melahirkan nanti.

“Cukuplah saya dan isteri yang tahu jantinanya buat waktu ini. Kami nak jadikan ia sebagai kejutan. Selepas isteri selamat bersalin nanti, baru saya akan maklumkan di media sosial.

“Insya-Allah, mengikut jangkaan doktor, isteri akan bersalin pada Mac depan,” katanya kepada BH Online.

Menurut Ameer, persiapan bagi menyambut anak sulung mereka berjalan dengan lancar.

“Setakat ini, boleh dikatakan 70 peratus daripada persiapannya sudah dibuat.

“Isteri juga berada dalam keadaan sihat dan kini, tiada apa yang saya harapkan selain proses kelahiran anak kami dipermudahkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ameer rancak mempromosikan single terbaru berjudul Sudahlah yang turut menampilkan Denny Mojo.

“Saya memang tidak pernah berhenti menyanyi, sama ada secara berkumpulan mahupun solo. Pada masa sama, saya juga sibuk menguruskan spa di Shah Alam bersama One (Forteen),” katanya.

Ameer dan Siti Nurnaja’a berkahwin pada Mac tahun lalu di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi Taman Melati, di sini.

Berita Harian X