Selasa, 14 Januari 2020 | 5:40pm
Erma tersentuh melihat nasib Puteri Balqis seperti yang dipaparkan program terbitan TV3, Bersamamu, Ahad lalu. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Erma risau nasib Aqish

KUALA LUMPUR: Sebagai antara individu yang pernah mengangkat bakat Puteri Balqis Azizi, sutradara terkenal, Erma Fatima tersentuh melihat nasib pelakon cilik itu.

Menyifatkan Puteri Balqis, 13, sebagai anak pintar dan berbakat besar, Erma bagaimanapun menganggap remaja yang pernah meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Televisyen Asia Ke-19 itu, sebagai mangsa keadaan.

Erma yang juga ibu kepada lima angkat turut mempersoalkan mengapa Puteri Balqis dibesarkan dalam keadaan seperti itu.

“Sebagai wanita bergelar ibu, tidak kiralah ibu bapa Balqis sudah berpisah, bagi saya, bukan begitu cara membesarkan anak.

“Saya tidak sanggup melihat apa yang terjadi kepada Balqis, apatah lagi membaca laporan mengenai kisah malang hingga perlu menjual buku puisi demi kelangsungan hidup.

“Saya mahu soal lagi, bagaimana dengan pendapatan Balqis ketika dia aktif berlakon? Saya pernah dengar mereka hidup merempat dahulu, tetapi dengan bakat Balqis, hidup mereka berubah.

“Tetapi mengapa terjadi lagi perkara sama sekarang,” katanya kepada BH Online.

Sejak beberapa hari lalu, Puteri Balqis yang terkenal dengan lakonan penuh penghayatan, mencetuskan kontroversi apabila mengaku diuji kesempitan hidup.

Dalam pengakuannya kepada program Bersamamu yang disiarkan TV3, Ahad lalu, Puteri Balqis mendakwa terpaksa mengikat perut dan tidak menjamah makanan selama beberapa hari, akibat desakan hidup.

Biarpun kesempitan hidup, Puteri Balqis berusaha mencari pendapatan sendiri dengan menulis buku puisi dan menjualnya di jalanan sambil ditemani ibu, Norashikin Mohd Aziz.

Puteri Balqis kini sibuk mempromosikan buku puisi tulisannya bagi menambah pendapatan. - Foto Instagram Puteri Balqis

Erma yang juga kakak kepada Umie Aida berharap bantuan disalurkan terus kepada pihak hospital, misalnya, agar wang dikumpul digunakan sebaik-baiknya bagi membiayai kos perubatan remaja itu.

Erma turut mempersoalkan masa depan Puteri Balqis termasuk persekolahannya.

“Dahulu Balqis belajar dari rumah dengan menggunakan khidmat guru persendirian. Sekarang apa sudah jadi? Bagaimana dengan masa depannya?” katanya.

Berita Harian X