Rabu, 15 Januari 2020 | 2:20pm
Puteri Balqis dan ibunya, Norashikin menaiki komuter dari rumah mereka di Kota Kemuning, Shah Alam menuju ke pusat bandaraya bagi menjual buku puisi. Foto Ihsan Produksi Bersamamu TV3

Aqish nafi ibu penagih dadah

KUALA LUMPUR: Mencetuskan kontroversi selepas kisah hidup yang lara didedahkan dalam program Bersamamu terbitan TV3, Puteri Balqis Azizi hari ini tampil memberi penjelasan termasuk menafikan dakwaan ibunya penagih dadah.

Melalui catatan panjang lebar di Instagram (IG), Puteri Balqis yang membahasakan dirinya, Aqish, mempertahankan ibunya, Norashikin Mohd Aziz, yang dilempar kecaman sejak kisah hidup dua beranak itu menjadi perbualan ramai.

Memulakan bicara, Puteri Balqis, 13, yang pernah meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Televisyen Asia ke-19 menjawab persoalan dibangkitkan pelakon, Nabila Huda melalui Twitter, beberapa hari lalu.

“Daripada kerendahan hati, saya terpanggil meluahkan perasaan terhadap kenyataan Nabila melalui Twitter.

“Pada mulanya, Aqish tidak faham dengan soalan ‘artis nama besar bagi kenyataan’ kerana kami tiada Twitter dan Facebook. Tetapi apabila kenyataan itu diberitakan kepada kami sendiri, Aqish sedih.

‘Buat auntie Nabila, Aqish minta jangan dipersoalkan mengenai ibu. Laman media bukan untuk itu. Kami juga pernah melakukan kesalahan seperti itu, tapi kami cuba berubah.

“Kenyataan auntie (Nabila) mengapa dibiarkan Aqish berjalan ke Kuala Lumpur, ini jawapan Aqish buat mereka yang hanya mendengar tetapi tidak menyelami. Hanya menuduh tetapi tidak menyelami.

“Jika auntie (Nabila) hendak salahkan orang lain, tidak mengapa. Tapi jangan disebut atau disalahkan ibu Aqish,” katanya dalam catatan yang dimuat naik di IG, pagi tadi.

Ahad lalu, program Bersamamu terbitan TV3 mendedahkan kehidupan Puteri Balqis ketika ini yang dikatakan terhimpit, selepas mengalami masalah kesihatan lalu hilang tawaran berlakon.

Untuk menyara hidup, Puteri Balqis menjual buku berjudul 38 Poems Of Puteri Balqis yang ditulisnya.

Mengikut apa yang diceritakan, saban hari, Puteri Balqis yang ditemani ibu, keluar dari rumah di Kota Kemuning, Shah Alam, ke beberapa lokasi seperti Bukit Bintang, di sini, bagi menjual buku setebal 27 muka surat itu.

Pendedahan kehidupan melara pelakon cilik itu pantas menarik perhatian netizen termasuk rakan artis yang pernah bekerjasama dengannya.

Selain simpati, ada antara mereka membangkitkan persoalan mengenai bagaimana nasib Puteri Balqis yang dulunya diangkat sebagai pelakon berbakat, berubah sekelip mata.

Puteri Balqis mendakwa, ibunya sudah berhabis puluhan ribu ringgit untuk mencari jalan untuk ‘menyelamatkannya’.

“Mana kawan? Mana keluarga? Mereka juga punya masalah tapi berbeza.

“Ketika auntie (Nabila) dan anak (Keisha Laila) kemalangan dulu, jika ditakdirkan anak auntie mengalami sesuatu yang kurang baik dan memerlukan puluhan atau ratusan ribu ringgit, duit berjuta pun boleh habis demi menyelamatkan nyawa seorang anak.

“Syukur auntie dan anak diberi peluang sakit ketika itu sahaja. Bukan seperti saya yang menderita sakit bertahun-tahun lamanya. Ibu menjadi satu-satunya saksi kepada keperitan yang dilalui,” katanya.

Namun, Puteri Balqis tidak lupa, Nabila pernah membantunya.

“Itu hakikat yang ibu saya tidak pernah lupa,” luahnya.

Puteri Balqis mendakwa, ibunya adalah satu-satu ahli keluarga yang tidak pernah menganggur, sebaliknya melakukan pelbagai pekerjaan demi mencari nafkah.

“Dari dulu, ibu buat macam-macam kerja. Di set penggambaran, ibu pernah menjual asam, jeruk dan berniaga di sana-sini.

“Ketika berlakon dahulu, ibu berhak bersuara membela anaknya apabila melihat saya dibuli sesetengah daripada mereka di set penggambaran. Ketika itu, saya terpaksa berhenti berlakon seketika kerana sakit.

“Malah, ibu berusaha melangsaikan hutang atau bantuan yang diberi dengan memindahkan wang secara diam-diam ke dalam akaun bank termasuk saudara mara, sahabat dan kru produksi,” katanya.

Mengenai tuduhan ibunya terjebak dengan najis dadah, Aqish menepis dakwaan itu.

“Saya anak orang biasa dan tahu apa itu dadah. Kadang-kadang pada waktu pagi kami berjalan, sering ditahan polis tetapi syukur, ibu saya dilepaskan kerana tidak mengambil dadah.

“Memang fizikal ibu saya kurus kerana selalu tak makan, tak cukup tidur dan murung. Ketika saya sakit, waktu tidurnya pun tak menentu dan sering pengsan,” katanya.

Cerita konon ibunya menagih dadah, dakwa Puteri Balqis, disebarkan saudara rapatnya yang menyebar fitnah melalui akaun media sosial palsu.

“Macam-macam rancangannya cuba hendak menjatuhkan ibu tapi akhirnya dapat dihidu,” katanya.

Dalam catatan itu, Puteri Balqis memberitahu, dia enggan lagi menjadi anak seni dan lebih tenang jika tidak lagi perlu berhadapan dengan golongan penyebar fitnah.

Sementara itu, Nabila menjelaskan, apa yang dibangkitkan melalui Twitter adalah persoalan dirinya mengenai nasib Puteri Balqis.

“Itu adalah persoalan. Saya tak mahu komen lebih lanjut kerana tidak mahu sebarang salah faham daripada mana-mana pihak,” katanya.

Selain Nabila, sutradara Erma Fatima juga bersimpati dengan nasib Puteri Balqis dan menganggap pelakon cilik itu mangsa keadaan.

Berita Harian X