Jumaat, 17 Januari 2020 | 1:35pm
Pasangan selebriti, Nadzmi Adhwa dan Ardell Aryana bercuti di Istanbul, Turki, sebelum menyertai misi kemanusiaan ke Syria. - Foto Instagram Nadzmi Adhwa
Pasangan selebriti, Nadzmi Adhwa dan Ardell Aryana bercuti di Istanbul, Turki, sebelum menyertai misi kemanusiaan ke Syria. - Foto Instagram Nadzmi Adhwa

Isteri bersemangat bantu pelarian Syria - Nadzmi Adhwa

KUALA LUMPUR: Di sebalik keterujaan menjayakan misi kemanusiaan ke Syria, pelakon, Nadzmi Adhwa, tetap bimbangkan keadaan isteri, Ardell Aryana, dan anak dalam kandungannya.

Katanya, dia risau apabila melihat isterinya masih mahu melakukan kerja berat sepanjang misi berkenaan.

“Alhamdulillah, keadaan saya dan isteri baik-baik sahaja. Namun, saya tetap risau mengenangkan keadaan Ardell yang sedang hamil empat bulan, walaupun dia bersemangat untuk menjayakannya.

“Ardell tetap mahu mengangkat barang membantu pelarian Syria. Saya dan pasukan misi kemanusiaan jadi risau melihat kesungguhannya mahu membantu.

“Sampai pada satu tahap, semua kerja bantuan mahu dilakukannya. Saya cuba menghalang, tetapi Ardell seolah-olah lupa dirinya sedang berbadan dua. Dia memang mempunyai semangat juang yang tinggi dalam menjayakan misi ini,” katanya kepada BH Online.

Nadzmi dan Ardell menghargai sumbangan rakyat Malaysia yang membolehkan mereka membantu pelarian di Syria. - Foto Instagram Ardell Aryana
Nadzmi dan Ardell menghargai sumbangan rakyat Malaysia yang membolehkan mereka membantu pelarian di Syria. - Foto Instagram Ardell Aryana

Pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan itu berkata, pada masa sama dia sebak melihat pengorbanan dilakukan isterinya.

Pasangan itu terlebih dahulu bercuti ke Istanbul, Turki, sebelum menyertai misi selama 20 hari, sejak 8 Januari lalu, di bawah Yayasan Tabung Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM). Mereka dijangka pulang ke tanah air pada 18 Januari ini.

Nadzmi berkata, dia bersyukur misi yang dirancang berjalan dengan lancar.

“Doakan keselamatan kami supaya dapat meneruskan baki perjuangan dengan lebih luas untuk membantu pelarian Syria.

“Menerusi sumbangan dan derma rakyat Malaysia, kita mampu memanjangkan hasrat murni ini. Semoga Allah terus memberkati usaha kita dalam menjayakannya.

“Kami bagaimanapun masih memerlukan bantuan. Kami mahu membantu mereka membina rumah untuk berteduh kerana masing-masing hanya berlindung di dalam khemah, selama ini,” ujarnya.

Antara gambar dikongsi Ardell mengenai keadaan pelarian di Syria. - Foto Instagram Ardell Aryana
Antara gambar dikongsi Ardell mengenai keadaan pelarian di Syria. - Foto Instagram Ardell Aryana

Katanya, dia tidak dapat menahan sebak melihat penderitaan ditanggung oleh pelarian berkenaan.

“Mereka hidup dalam serba kekurangan, selain kesejukan pada musim sejuk. Ditambah pula dengan keadaan tanah yang berlumpur teruk.

“Sayu apabila melihat anak kecil yang tidak berkasut dan hanya memakai baju nipis, tetapi mereka tetap menyambut rombongan dengan senyuman,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X