Sabtu, 18 Januari 2020 | 3:42pm
Timbalan Presiden SENIMAN, Zuraini Kassim (dua dari kiri), bersama anggota jawatankuasa persatuan terbabit mengunjungi bekas personaliti televisyen, Wan Chik Daud, yang kini terlantar di kediamannya di Lembah Keramat kerana menderita beberapa penyakit. - Foto ihsan SENIMAN

Wan Chik Daud terlantar, derita pelbagai penyakit

KUALA LUMPUR: Penderitaan bekas penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Wan Chik Daud, 80, yang kini terlantar sakit dan tidak mampu menguruskan diri mendapat perhatian Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

Beliau yang juga balu pelakon, Allahyarham M Rajoli, disahkan menghidap kanser payu dara tahap empat, kencing manis, darah tinggi dan lumpuh.

Timbalan Presiden SENIMAN, Zuraini Kassim, berkata pihaknya maklum mengenai tahap kesihatan Wan Chik menerusi Pengerusi Biro Kebajikan persatuan itu, Nor Azifah Zainon Abidin.

“Sebagai persatuan yang membela nasib artis, menjadi tanggungjawab SENIMAN untuk membantu meringankan beban ditanggung oleh ahli kami.

“Walaupun sumbangan yang dihulurkan tidak seberapa, persatuan ini akan cuba sedaya upaya untuk membantu apa yang patut. Sedikit sebanyak sumbangan yang diberikan diharap dapat meringankan bebanan ditanggung oleh Wan Chik,” kata Zuraini.

Persatuan SENIMAN tidak lupa menghulurkan sumbangan kepada Wan Chik Daud ketika mengunjungi bekas personaliti televisyen itu di kediamannya di Lembah Keramat. - Foto ihsan SENIMAN

Menurutnya lagi, biarpun pertuturan bekas personaliti televisyen dan pelakon veteran yang pernah membintangi filem Do Re Mi serta Nasib Do Re Mi itu sangat perlahan, beliau tetap boleh berkomunikasi dengan mereka yang berada di sisinya, malah pendengarannya juga masih baik.

“Alhamdulillah, beliau juga tidak menghadapi masalah penglihatan, malah masih mengingati rakan-rakan yang menziarahinya,” kata Zuraini lagi.

Selain beberapa penyakit dialaminya kini, Wan Chik juga pernah diserang angin ahmar ringan, dua tahun selepas pemergian suaminya pada 2010.

Sejak tujuh tahun lalu, beliau yang tinggal bersama pembantu rumah di kediamannya di Lembah Keramat, di sini, perlu memakai lampin pakai buang berikutan sukar untuk bergerak.

Berita Harian X