Ahad, 19 Januari 2020 | 8:45pm
Fasha mengaku trauma dengan insiden keguguran menyebabkan dia enggan bercerita lanjut mengenai kehamilannya sekarang. Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Trauma gugur, Fasha tak mahu cakap banyak

KUALA LUMPUR: Spekulasi kehamilan Fasha Sandha terjawab apabila aktres jelita itu mengesahkan dirinya berbadan dua.

Bagaimanapun, Fasha atau nama penuhnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 35, enggan bercerita lanjut mengenai kandungannya kerana fobia dengan insiden keguguran sebelum ini.

“Saya mengaku ramai yang tidak henti-henti bertanya mengenai kehamilan saya apabila melihat perut semakin besar.

“Alhamdulillah, saya hamil. Cuma saya tidak mahu berkongsi usia kandungan kerana insiden keguguran sebelum ini membuatkan saya fobia untuk bercakap mengenainya,” katanya kepada BH Online.

Pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik (Drama), Anugerah Skrin 2017 ini mengaku pengalaman keguguran beberapa kali menjadi faktor dia mengambil masa untuk menjelaskan situasi sebenar.

“Saya ambil masa untuk beritahu perkara ini kerana ingin memastikan apakah masanya sesuai untuk dikongsi. Sebolehnya, saya tidak mahu bercakap mengenai perkara ini (hamil) kerana masih sedih atas kejadian sebelum ini (keguguran).

“Insiden itu melukakan hati kedua-dua anak saya saya. Justeru, kali ini, saya mahu lebih tenang dan mengambil langkah berhati-hati.

“Buat peminat yang selalu mengambil berat dan mendoakan yang baik-baik untuk saya, terima kasih saya ucapkan,” kata pelakon drama rantaian Semua Salahku ini.

Berikutan keadaannya itu, isteri kepada pelakon Aidil Aziz ini memberitahu, dia sedang berehat daripada berlakon dan tumpuannya lebih kepada kerja seni yang lain.

“Saya sedang berehat seketika. Fokus saya lebih kepada rangka promosi untuk drama selain komitmen sebagai duta produk,” katanya.

Fasha mendirikan rumah tangga dengan Aidil pada Mac tahun lalu. Ini adalah perkahwinan kedua buat Fasha.

Menerusi perkahwinan pertama, bintang jelita ini dikurniakan dua anak iaitu Putra Rayfal Ramli, 6, dan Putri Raysha Jemyma, 5.

Pada 10 Jun tahun lalu, Fasha menerusi perkongsian di Instagram mengumumkan dirinya keguguran. Sebelum itu, pada 21 Mei, dia mendedahkan dirinya hamil.

Berita Harian X