Selasa, 21 Januari 2020 | 3:14pm
Ippo menantikan kehadiran anak sulung pada Ogos depan. Foto IG Ippo Hafiz

Ippo Hafiz bakal bergelar bapa

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz bakal bergelar bapa apabila isterinya, Fara Roslan kini hamil tiga bulan.

Ippo atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Yaziz, 31, berkongsi kegembiraan ketika sedang rancak mempromosikan lagu terbaharu, Seadanya Aku.

Lagu ciptaan Ippo serta dan lirik Fedtri Yahya dan Ippo itu diangkat sebagai lagu tema drama Seadanya Aku lakonan Zara Zya dan Azlee Khairi. Drama arahan Feroz Kader itu kini sedang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3.

“Saya berharap lagu Seadanya Aku akan membawa tuah, tahun ini. Pada saat lagu ini diperdengarkan, saya sedang menghitung hari menantikan cahaya mata pertama yang akan lahir pada Ogos depan.

“Saya sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai bapa tidak lama lagi.

“Besar harapan saya menyaksikan lagu ini bersinar dan diterima pendengar, seiring dengan kehadiran bakal anak sulung kami. Anak angkat yang dipelihara, Cinta Rizky Amanda akan mendapat adik,” katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai lagu Seadanya Aku, penyanyi jolokan Raja Runut Bunyi itu berkata pelakon utama drama Seadanya Aku, Zara turut ditampilkan sebagai model untuk muzik video berkenaan.

“Istimewanya, saya mengarahkan sendiri muzik video lagu ini. Ia percubaan kedua saya mengarah muzik video selepas lagu Saat Bahagia yang menjadi lagu runut bunyi drama Pujaan Hati Kanda.

“Lagu ini dirakamkan pada November tahun lalu, manakala muzik video menjalani penggambaran di Melaka pada bulan lalu,” katanya.

Berita Harian X