Khamis, 23 Januari 2020 | 12:25am
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, pada jam 9.15 malam tadi. - NSTP/Farihad Shalla Mahmud

'Rindu gurauan ayah'

SUBANG JAYA: “Setiap kali kami adik-beradik berkumpul di meja makan, ayah selalu bergurau dengan kami sambil memuji masakan Ummi.

'Situasi itulah yang pasti saya rindui selepas ini.”

Itu luahan Adam Danial, 20, anak sulung pengarah muzik terkenal, Allahyarham Faizal Uzir ketika mengimbau saat manis bersama arwah bapanya.

Faizal, 46, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Puncak Jalil, Seri Kembangan kerana sesak nafas selepas bersenam kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Mengaku terkejut dengan perkhabaran sedih yang diterimanya, Adam, bagaimanapun reda kehilangan insan paling disayanginya itu.

"Ketika mendapat tahu mengenai berita pemergian ayah, saya jadi tergamam... Tak tahu nak kata apa. Sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, saya menangis sepuas-puasnya kerana tak sangka saya kehilangannya.

“Tidak mengapa, saya terima segala takdir Tuhan. Sebagai anak sulung, saya kena kuat untuk menghadapinya demi keluarga," katanya yang juga penuntut matrikulasi di sebuah institusi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Adam ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini. Jenazah Allahyarham dikebumikan kira-kira jam 9.15 malam tadi.

Adam berkata, selain penyayang dan suka berjenaka, arwah boleh dianggap pakar motivasi.

"Ayah sering memberi kata-kata nasihat kepada kami. Mesej terakhir yang dikirimkan adalah foto yang dimuat turun dari Instagram.

"Dalam gambar itu, terkandung mesej positif yang mahu saya menjadi orang pertama berjaya bergelar jutawan. Ayah mahu saya berusaha mencapai impian itu," katanya.

Allahyarham meninggalkan isteri Jamariah Yusof dan empat cahaya mata iaitu Faris Danial, Ahmad Firhan Danial dan Yasmin Damia, selain Adam.

Antara rakan artis yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Hazama, Tomok, Datuk Syafinaz, Hafiz Suip, Azmeer, Datuk Nash dan Ujang Exist.

Berita Harian X