Jumaat, 24 Januari 2020 | 1:00pm
Aril Pilus mengimbas kenangan sebelum arwah abangnya, Izwan Pilus menghembuskan nafas terakhir. Foto IG Aril Pilus

Aril rindu usikan arwah abang

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aril Pilus masih teringat usikan abangnya, Allahyarham Izwan Pilus yang disifatkan suka menyakat.

“Rindu... Arwah bukan saja suka menyakat, malah sering menasihatkan saya. Hanya saya dan arwah dalam keluarga memilih kerjaya dalam bidang seni.

“Faham-fahamlah jika ada abang yang selalu membebel. Rimas kena sakat, tetapi itulah yang paling dirindui.

“Dulu, arwah pernah cakap mahu bersara awal kerana ingin menguruskan kerjaya saya. Nyata, tidak kesampaian dan Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya.

Baru-baru ini, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia Musim Ke-7 (AF7) itu memuat naik coretan pilu bersama gambar arwah abangnya selepas lapan tahun pemergian penyanyi Indah Lelapku itu.

Allahyarham Izwan menghembuskan nafas terakhir pada 20 Januari 2012 akibat jangkitan kuman dalam darah.

Tambah Aril, dia terasa bagaikan semalam kehilangan arwah, biarpun sudah lapan tahun berlalu.

“Saya masih ingat satu kenangan sebelum arwah pergi. Tergerak hati menghubunginya ketika saya mengikuti ekspedisi menunggang motosikal berkuasa besar bersama rakan-rakan di Koh Samui, Thailand pada Disember 2011.

“Saya tak pernah beritahu arwah jika mahu ke mana-mana. Bagaimanapun, saya memaklumkan kepadanya saya sudah sampai ke pulau peranginan ini.

“Arwah terkejut saya bercuti ke Koh Samui. Dia berpesan supaya menjaga diri dan tidak berkelakuan ‘gila-gila’ di tempat orang,” katanya menerusi perkongsian dalam laman IG.

Aril berkata, dia menghantar pula ucapan selamat tahun baharu selepas memutuskan panggilan telefon.

“Arwah hanya membalas dengan menghantar gambar ikon saja. Saya tidak sangka, momen ini memberi petanda saya hanya mempunyai masa 20 hari bersama arwah, sebelum pemergiannya,” katanya yang kini menjalani penggambaran sebagai hos program, Kayuh Makan Ulang di Sarawak.

Berita Harian X