Ahad, 26 Januari 2020 | 8:30am
Meminati Ziana sejak lama dahulu, Wafariena tak sangka Johari yang mencipta rangkaian lagu termasuk Terlerai Kasih untuk idolanya itu, sanggup berkarya untuknya. Foto NSTP/ Intan Nur Elliana Zakaria
Meminati Ziana sejak lama dahulu, Wafariena tak sangka Johari yang mencipta rangkaian lagu termasuk Terlerai Kasih untuk idolanya itu, sanggup berkarya untuknya. Foto NSTP/ Intan Nur Elliana Zakaria

Wafariena nak tiru Ziana Zain

KUALA LUMPUR: Sudahlah idola Ziana Zain, dapat pula lagu ciptaan Johari Teh yang pernah berkarya untuk penyanyi Madah Berhelah itu.

Menganggap dirinya sangat bertuah, Wafariena mengaku Ziana banyak memberi inspirasi untuk bertapak dalam dunia seni.

“Sejak dahulu saya meminati Ziana. Setiap lagu balada yang dinyanyikan menyentuh rasa, bagai ada cerita di sebaliknya.

“Saya meminati hampir semua lagu dendangannya. Kalau boleh, saya mahu jadi seperti Ziana,” katanya kepada BH Online.

Wafariena yang makin popular dengan lagu Carilah Aku ciptaan Johari, tidak pernah menyangka ditawar merakamkan lagu dengan komposer hebat itu.

Pertemuan di pejabat syarikat rakaman, MAP Music, akhirnya membuka dimensi baharu buat Wafariena.

“April lalu, saya diundang ke sesi uji bakat dan bertemu dengan Johari. Peluang itu datang selepas saya menghantar video nyanyian kepada pihak terbabit.

“Perancangan Allah dan rezekiNya tidak pernah salah alamat. Saya diterima untuk bernaung di bawah label berkenaan,” katanya yang tidak menyangka komposer bertaraf legenda dan pernah bekerjasama dengan Ziana sanggup memberikannya lagu baharu.

Dalam membina nama, Wafariena bagaimanapun sedar semuanya tampak glamor dan indah.

“Namun, semua ini menuntut kesabaran tinggi. Apatah lagi, saingan ada di mana-mana,” katanya.

Selain dunia nyanyian dan peragaan, Wafariena mencuba bakat dalam dunia lakonan.

“Terbaru, saya membintangi telefilem pertama berjudul Kisah Seram Hostel. Telefilem arahan Feroz Kadir ini dibintangi Janna Nick,” katanya yang pernah berlakon filem Buntat.

Wafariena berkata, sebagai artis baharu, dia mahu merebut semua peluang yang ada.

“Bukan suka-suka, saya lakukan semua ini kerana minat. Ketika ini, bidang nyanyian diberi keutamaan, diikuti lakonan dan peragaan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X