Ahad, 26 Januari 2020 | 10:45pm
Wan Monaliza melihat keadaan ibunya yang terlantar di sebuah pusat penjagaan warga emas di Kuala Lumpur, sejak setahun lalu. Foto/NSTP Aziah Azmee

Artis veteran Sharifah Aminah terlantar

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Sharifah Aminah Syed Abdullah, 75, terlantar dalam keadaan separuh sedar di sebuah pusat jagaan warga emas di ibu negara, sejak setahun lalu.

Sharifah Aminah yang aktif sejak 1960-an, ditempatkan di pusat jagaan itu oleh anak-anak bagi membolehkan beliau mendapat penjagaan khusus.

Anak sulungnya, Wan Monaliza Jamali, 52, memberitahu, dia dan adiknya sepakat menempatkan ibu mereka di premis berkenaan, namun keadaan kewangan ketika ini, tidak mengizinkan dirinya melunaskan bayaran bulanan.

“Saya dibuang kerja dan masih mencari jawatan dengan pendapatan tetap. Saya hanya menjual kuih yang dihantar kepada beberapa gerai di sekitar rumah.

“Ketika ini, tunggakan bayaran penjagaan bernilai hampir RM10,000. Namun, pengurusan premis berkenaan berbesar hati mengurangkannya kepada RM8,000 serta menghadiahkan mama katil hospital.

“Selain itu, ada saudara-mara dan teman rapat membantu menjelaskan bayaran, tetapi tidak mencukupi,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Sharifah Aminah yang membintangi filem Mama Oh Mama dan Esok Untuk Siapa mengalami pendarahan otak dan serangan angin ahmar. Beliau rebah di sebuah restoran ketika menikmati makan malam bersama beberapa teman rapat pada September 2018.

Berikutan itu, Sharifah Aminah atau mesra disapa Kak Pah, dikejarkan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan terlantar selama empat bulan.

Atas persetujuan bersama, anak-anak terpaksa menghantar Sharifah Aminah ke pusat jagaan warga emas itu.

Wan Monaliza berkata, dia tidak mempunyai pilihan melainkan menghantar ibu ke pusat penjagaan itu yang menawarkan bayaran berpatutan.

“Pada mulanya, saya dikenakan bayaran RM2,700 sebulan. Namun, dapat dikurangkan kepada RM1,500 sejak empat bulan lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Monaliza kini tidak lagi mampu membayar kos penjagaan ibunya sejak diberhentikan kerja, beberapa bulan lalu.

Ikuti temuramah eksklusif bersama Wan Monaliza mengenai keadaan ibunya dalam segmen hiburan HIP akhbar BH, Isnin 27 Januari 2020.

Berita Harian X