Isnin, 27 Januari 2020 | 6:55pm
Pelakon, Chacha Maembong enggan peduli kecaman warganet, asalkan tidak menjejaskan kerjaya lakonan. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Chacha parti dengan rakan wanita

KUALA LUMPUR: Mulut tempayan boleh ditutup, tetapi tidak mulut manusia. Pelakon seksi, Chacha Maembong, 24, sudah lali dengan kecaman warganet terhadap dirinya sejak dahulu lagi.

Adik kepada Emma Maembong itu sekali lagi dikecam teruk apabila video berparti dengan memakai bikini di Bali, Indonesia tersebar, baru-baru ini.

“Saya mengakui bercuti dengan rakan-rakan ketika video berkenan tular. Ini hanya percutian membabitkan rakan-rakan wanita.

“Saya enggan mengulas lebih lanjut, kisah yang sudah dilupakan. Saya tidak mampu menutup mulut warganet bercakap buruk mengenai saya.

“Redha saja, inilah bayaran yang harus saya terima apabila memilih hidup sebagai selebriti. Namun, ia bukan penghalang untuk saya menjadi diri sendiri dan melakukan apa yang disukai,” katanya kepada BH Online.

Pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Kau Yang Terindah pada 2012 itu berkata, dia tidak kisah dengan kutukan warganet, asalkan tidak menjejaskan kerjaya lakonannya.

“Saya sudah kebal dengan hentaman warganet. Bukan mereka tidak tahu saya suka berpakaian seksi sejak dahulu lagi.

“Saya bukannya jenis bermuka-muka. Apa yang ditunjukkan dalam laman Instagram (IG) adalah diri saya.

“Saya tak mahu dalam IG bukan main tunjuk baik. Berjumpa di luar, tidak senonoh. Saya rasa kesannya lagi buruk terhadap seseorang yang berperangai begitu,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama Bukan Gadis Biasa arahan Azman Yahya atau Jinggo.

Berita Harian X