Rabu, 29 Januari 2020 | 3:08pm
Pembaca Berita Mandarin RTM, Rasyidah Abu Johan menerima komen berbaur sindiran dalam laman sosial sejak baca berita. Foto Ihsan Rasyidah Abu Johan

'Salahkah saya baca berita Mandarin?'

KUALA LUMPUR: Pembaca Berita Mandarin RTM, Rasyidah Abu Johan, 32, tidak peduli komen negatif yang merendahkan semangatnya untuk menerokai bidang baharu.

Rasyidah diberi peluang membaca Berita Mandarin sejak 26 Januari lalu berkata, dia menerima beberapa komen berbaur sindiran dalam laman sosial, tetapi memilih tidak mengambil pusing.

“Kebanyakan penonton berbangsa Cina menyokong tetapi ada juga segelintir berpendapat saya merebut peluang, seolah-olah merampas rezeki mereka. Mereka bimbang sekiranya bidang ini turut dikuasai oleh pembaca berita berbangsa Melayu.

“Bagaimanapun, orang Melayu sangat menyokong. Tidak mengapa, saya mengambil komen yang diberikan sebagai pembakar semangat. Biarpun begitu, saya tetap akan membaca berita Mandarin kerana ia adalah impian saya sejak bekerja di RTM dari 2011 lagi,” katanya kepada BH Online.

Katanya, dia mahir bertutur dan membaca bahasa Mandarin berikutan mendapat pendidikan di sekolah aliran Cina dari darjah satu hingga tingkatan enam.

Sementara itu, graduan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) itu tidak menafikan gusar menimbulkan isu berikutan dia pembaca berita berbangsa Melayu pertama yang bertugas membaca berita Mandarin di saluran berkenaan.

“Saya takut menimbulkan isu dan penonton bangsa Cina tak boleh menerima. Bimbang juga tidak mampu menyampaikan berita dengan baik, boleh merosakkan imej RTM.

“Sejujurnya, sudah lama saya mengimpikan untuk membaca berita Mandarin, tetapi kurang yakin dengan penguasaan bahasa.

“Bagaimanapun, pembaca berita, Ivan Toh yang juga ketua banyak memberi dorongan sejak tahun lalu. Ivan adalah pembaca berita berbangsa Cina yang membaca berita bahasa Melayu,” katanya.

Rasyidah berkata, Ivan menasihatkannya supaya berlatih dan mencari guru untuk memperbaiki sebutan.

“Saya mengikuti nasihat demi memperbaiki sebutan. Sebelum ini, saya pernah melakukan rakaman suara latar, jadi saya mula sudah membiasakan diri.

“Saya mengambil masa selama tiga bulan untuk memperbaiki sebutan dan pertuturan di hadapan kamera, sebelum diketengahkan sebagai pembaca berita.

“Setakat ini, sudah dua kali diberi peluang membaca Berita Mandarin,” katanya.

Berita Harian X