Khamis, 30 Januari 2020 | 8:30am
Radhi mendakwa tidak berjumpa dua anak selepas bercerai dengan bekas isteri, Julai lalu. Foto NSTP/Rohanis Shukri
Radhi mendakwa tidak berjumpa dua anak selepas bercerai dengan bekas isteri, Julai lalu. Foto NSTP/Rohanis Shukri

'Teringin bawa anak bermalam di rumah'

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan OAG, Radhi mendakwa masih belum berpeluang menjaga dua anaknya selepas bercerai dengan bekas isteri, Nur Shahira Ayu Zahiri, tahun lalu.

Meluahkan rasa terkilan, Radhi atau nama penuhnya, Muhammad Radhi Razali, 42, berkata, sebagai bapa, dia masih menaruh harapan untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak, biarpun terpaksa menempuhi cabaran sukar.

“Sudah lama saya tidak bertemu dengan anak. Setiap kali saya mahu berbuat demikian, ada sahaja halangan tiba.

“Saya sudah berbincang dengan bekas isteri, namun menemui jalan buntu. Ini kerana setiap keputusan perlu mendapat persetujuan ibu bapanya.

“Sebagai bapa, sudah tentu saya teringin membawa mereka bermalam di rumah dan meluangkan masa bersama. Namun, sehingga ke hari ini, saya masih belum berpeluang berbuat demikian.

“Saya harap, suatu hari nanti, saya berpeluang mencurahkan kasih sayang dan menjaga mereka seperti dahulu,” katanya kepada BH Online.

Radhi berkahwin dengan Nur Shahira Ayu atau Ayu pada 14 April 2014, namun bercerai, Julai tahun lalu. Mereka dikurniakan dua anak, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.

Sebelum ini, Radhi yang popular dengan lagu Slumber, pernah berkahwin dengan penyanyi, Shazlin Sharif pada 1 Jan 2005 dan berpisah pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim, 14.

Dalam perkembangan lain, Radhi mengaku berdepan tekanan ketika perkahwinan kedua dilanda badai sehingga berlaku perpisahan.

“Saya alami tekanan dan murung ketika bercerai. Bukan mudah untuk menghadapi situasi seperti itu apabila pada masa sama, saya ada masalah ketagihan.

“Selain menjadikan muzik sebagai terapi, saya mendekatkan diri dengan Tuhan. Saya sertai aktiviti kumpulan tabligh sehingga ke Johor. Kehadiran teman-teman tabligh banyak membantu saya mencari kekuatan diri,” katanya.,

Selasa lalu, Radhi melancarkan single terbaru berjudul #ORI dan konsert jelajah yang bakal bermula di Johor Bahru, bulan depan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X