Khamis, 30 Januari 2020 | 9:30am
Rozita berang kontraktor yang diupah untuk mengubahsuai kediaman tidak menyempurnakan kerja seperti dijanjikan. Foto Instagram Rozita Che Wan
Rozita berang kontraktor yang diupah untuk mengubahsuai kediaman tidak menyempurnakan kerja seperti dijanjikan. Foto Instagram Rozita Che Wan

Che Ta mengamuk rumah tak siap

KUALA LUMPUR: Lama berdiam dan menahan sabar, Rozita Che Wan atau Che Ta akhirnya ‘mengamuk’ dengan kontraktor yang didakwa gagal menyiapkan projek pengubahsuaian kediamannya sejak dua tahun lalu.

Berang selepas banyak wang dibelanjakan, Rozita memuat naik video melalui Instagram (IG) Story yang antara lain menunjukkan projek pengubahsuaian banglo miliknya di Damansara, Petaling Jaya, tidak siap.

“Siapa yang mampu bersabar selepas dua tahun, kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan rumah saya tak siap-siap.

“Apabila mengupah kontraktor Melayu atas niat membantu bangsa sendiri, inilah hasilnya. Bukan hendak memalukan orang Melayu, tapi inilah hakikat yang saya hadapi. Kita bagi rezeki, mereka kerja main-main,” katanya kepada BH Online.

Rozita mendakwa sudah membelanjakan jutaan ringgit untuk projek pengubahsuaian kediamannya itu.

“Saya lantik kontraktor ini atas saranan teman. Nampaknya, kadang-kadang, cadangan kawan pun tak boleh pakai,” katanya.

Rozita menambah, sikap kontraktor terbabit amat mengecewakan.

“Bayangkanlah, kalau tak bayar duit, kerja tak jalan. Apabila kita bayar, sikit-sikit minta wang lagi.

“Mungkin mereka guna duit tidak betul sehingga kerja jadi tergendala. Peruntukan membayar pekerja dan membeli bahan binaan juga mungkin kehabisan,” katanya.

Rozita berkata, dia memberi tarikh akhir iaitu 10 Januari lalu kepada kontraktor terbabit untuk menyiapkan semua kerja.

“Balkoni, lantai, itu dan ini semuanya tak siap. Akhirnya mereka lari. Sekarang saya terpaksa buat pelan B dengan melantik kontraktor baharu menyudahkan semua kerja,” katanya.

Rozita mendakwa sudah puas menghubungi nombor telefon dan melayangkan mesej kepada kontraktor terbabit, namun, tidak mendapat balasan.

“Saya diberi bermacam-macam alasan seperti seperti sudah berpindah pejabat, kakitangan berhenti kerja dan bermacam-macam perkara lain.

“Lucunya, foto dan video proses pengubahsuaian rumah saya dipromosikan pada akaun Facebook kontraktor terbabit. Kerja tak siap, ada hati pula hendak perkenalkan perkhidmatan mereka kepada orang lain,” katanya.

Berita Harian X