Isnin, 3 Februari 2020 | 1:00pm
Wany sedia terima kritikan peminat jika tidak suka dengan imej ditonjolkan dalam video muzik single baharu, Canggung. Foto/NSTP Aziah Azmee
Wany sedia terima kritikan peminat jika tidak suka dengan imej ditonjolkan dalam video muzik single baharu, Canggung. Foto/NSTP Aziah Azmee

'Tak suka, sila kritik'

KUALA LUMPUR: Selama ini, imej baik-baik sesuai dengan penampilan diri, kali ini, Wany Hasrita tampil berbeza.

Wany memberitahu, sempena single baharu berjudul Canggung, dia akan melakukan transformasi yang tidak pernah dilihat peminat dalam video muzik lagu berkenaan.

“Lagu Canggung ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong bukan berteras irama Malaysia. Single ini mirip lagu Belenggu Rindu tetapi diberi sentuhan moden.

“Tahun ini, saya makin berani. Video muzik yang bakal diterbitkan agak eksotik. Sebelum ini, klip video saya memaparkan lokasi cantik.

“Kali ini, penggambaran akan dilakukan di sebuah tempat sahaja. Elemen eksotik ditonjolkan melalui tarian, mood dan suasana. Mungkin ada haiwan yang akan dijadikan props,” katanya kepada BH Online.

Wany berkata, penggambaran video muzik yang dianggap ‘dark’ atau ‘berat’ itu akan bermula 19 Februari depan.

Ditanya tidakkah gentar dikritik andai produk dihasilkan keterlaluan dan jauh berbeza daripada imej dirinya, Wany berkata:

“Keputusan menerbitkan video muzik berkonsep ‘dark’ dibuat bagi menonjolkan karya Hael dan Ezra.

“Pada peringkat awal, pengarah dan pasukan kerja terfikir konsep sama. Namun, mereka risau apakah saya berani atau sebaliknya.

“Mungkin ada peminat yang tidak bersetuju. Namun, saya bersedia dengan apa sahaja kritikan netizen,” katanya.

Berita Harian X