Khamis, 6 Februari 2020 | 3:57pm
Juara Mentor Milenia 2019, Apex Tajudin terharu lagu Panggung melebihi 400,000 tontonan di saluran YouTube. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Juara Mentor Milenia 2019, Apex Tajudin terharu lagu Panggung melebihi 400,000 tontonan di saluran YouTube. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Tuah penyanyi jalanan kampung

KUALA LUMPUR: Daripada seorang penyanyi jalanan kampung yang sering mendendangkan lagu penyanyi lain, juara Mentor Milenia 2019, Apex Tajudin, 24, kini sudah mempunyai lagu sendiri.

Lebih membanggakan, single berjudul Panggung ditulis oleh komposer terkenal, Faizal Tahir, Mike Chan, Karim Karam dan Romeo sudah mendapat lebih 400,000 tontonan di saluran YouTube TV3 Official.

Sebagai pendatang baharu, siapa mahu melepaskan peluang yang boleh diumpamakan bagaikan bulan jatuh ke riba. Apatah lagi, ditawarkan waktu promosi di televisyen dan radio yang bernilai RM500,000 termasuk penghasilan muzik video.

“Alhamdulillah, lagu Panggung sudah mendapat lebih 400,000 tontonan sejak dilancarkan 24 Januari lalu. Saya akui bertuah dapat bekerjasama dengan komposer hebat terutama Faizal.

“Kami mengambil masa kira-kira tiga hari untuk proses rakaman lagu ini. Faizal mengajar saya membawakan karakter rock n roll dalam lagu Panggung.

“Bagaimanapun, sebelum rakaman dilakukan, Faizal terlebih dahulu meminta saya mendengar lagu daripada pautan YouTube yang diberikan supaya mendapat gambaran genre lagu,” katanya kepada BH Online.

Apex atau nama sebenarnya, Ahmad Amirul Hafizi Ahmad Tajudin berkata, Faizal tidak cerewet dan suka berkongsi ilmu.

“Faizal mengajar saya menari supaya dapat melahirkan ‘mood’ pada persembahan.

“Malah, saya bakal berkolaborasi sekali lagi dengan Faizal untuk lagu balada selepas lagu ini,” katanya kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Monkey Bone.

Menandatangani kontrak selama tiga tahun, Apex berpuas hati dengan tawaran persembahan yang diterima.

Apex yang juga protege kepada mentor, Hazama diangkat sebagai juara Mentor Milenia 2019 pada Disember lalu. Kemenangan melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM100,000, trofi dan motosikal Benelli RFS 150i.

Selain itu, penyanyi kelahiran Kelantan yang kini menetap di Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu itu juga dihadiahkan lagu pertama ciptaan Faizal, muzik video dan dijadikan lagu tema drama di TV3.

Apex juga mendapat waktu promosi TV dan radio serta dokumentari pendek kisah sepanjang berada Mentor Milenia untuk siaran saluran YouTube TV3.

Apex menewaskan tiga protege lain iaitu Daus Husny selaku naib juara, Aedy Kama (ketiga), dan Rika Riana (keempat).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X