Isnin, 10 Februari 2020 | 4:45pm
Mencetuskan kontroversi, Drama Band pertahankan aksi di pentas AJL34 sekadar parodi. Foto NSTP/Aswadi Alias
Mencetuskan kontroversi, Drama Band pertahankan aksi di pentas AJL34 sekadar parodi. Foto NSTP/Aswadi Alias

Kontroversi AJL34, Drama Band minta maaf

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Drama Band, Aepul Roza mempertahankan persembahan pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, malam tadi, sebagai kritikan sosial yang disampaikan dalam bentuk satira.

Mendakwa tidak berniat mengecam atau menjadikan karakter mana-mana individu sebagai sindiran, Aepul bagaimanapun memohon maaf atas keterlanjuran mereka.

“Saya mewakili Drama Band memohon maaf atas keterlanjuran kami dalam persembahan malam tadi. Jika ada yang meneka watak dibawa ke pentas ditujukan kepada mana-mana individu, kami tidak mampu menghalang.

“Bagaimanapun, selepas ini, kami akan lebih berhati-hati dalam persembahan dan tidak mengetengahkan lagi isu sensitif,” katanya kepada BH Online.

Ketika mempertaruhkan lagu Drama ciptaan Aepul, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib, Drama Band yang diiringi penari, menonjolkan beberapa karakter yang dilihat seakan-akan menyindir selebriti, pendakwah bebas, ahli politik dan pemimpin.

Berikutan itu, TV3 tidak menyiarkan klip video persembahan band itu di akaun YouTube, sejak malam tadi.

Aepul yang mendakwa terkejut diberitahu klip video mereka tidak disiarkan di YouTube, berharap kumpulan itu tidak dihalang membuat persembahan pada mana-mana acara selepas ini.

Aepul mengulangi apa yang dipaparkan hanyalah parodi.

Ditanya adakah produksi AJL34 tahu perancangan mereka dalam persembahan malam tadi, Aepul berkata, mereka hanya memaklumkan sebahagian daripada plot yang mahu dipaparkan.

“Kami tidak beritahu watak yang ditampilkan secara terperinci. Tetapi kami beritahu ada elemen kejutan dalam persembahan itu.

“Insya-Allah, selepas ini, kami belajar daripada kesilapan,” katanya.

Berita Harian X