X
Selasa, 11 Februari 2020 | 1:00pm
Merangkul trofi Vokal Terbaik, Hafiz bersama isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah ketika beraksi di AJL34, Ahad lalu. Foto NSTP/Aswadi Alias
Merangkul trofi Vokal Terbaik, Hafiz bersama isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah ketika beraksi di AJL34, Ahad lalu. Foto NSTP/Aswadi Alias

'Kebolehan Hafiz tiada pada penyanyi lain'

KUALA LUMPUR: Kejayaan Hafiz Suip meraih trofi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, Ahad lalu, menyebabkan peminat Ernie Zakri, kecewa dan berputih mata.

Kemantapan vokal Ernie menyebabkan peminat meramalkan penyanyi Ku Bersuara itu mempunyai potensi untuk membawa pulang trofi yang pernah dimenangi bersama Syamel di pentas sama, dua tahun lalu.

Mengulas perkara itu, ketua juri AJL34, Ajai berkata, Hafiz, Ernie dan Aina Abdul dilihat mempunyai potensi untuk memenangi gelaran Vokal Terbaik.

“Memang kita tahu Ernie ada teknik vokal yang sangat bagus. Tetapi bercakap mengenai Hafiz, satu perkara yang saya lihat, dia ada kebolehan yang tidak dimiliki penyanyi lain.

“Biarpun muzik dihentikan seketika dan dia perlu menyambung semula nyanyian, saya lihat Hafiz ada kebolehan mengekalkan penghayatan dan nada sama ketika menyanyi dengan muzik.

“Tidak ramai penyanyi ada penghayatan sebaik Hafiz... Hanya mereka yang terpilih memiliki kebolehan itu,” katanya.

Mengulas vokal Aina yang mempertaruhkan lagu Sumpah, Ajai berkata, Aina mempunyai potensi menang jika mendapat lebih banyak peluang untuk tampil di pentas berprestij seperti AJL.

“Aina penyanyi yang baik tetapi dia kurang pengalaman. Jika dia ada lebih banyak peluang menyanyi di pentas berprestij seperti AJL, ruang vokalnya akan menjadi lebih berani dan yakin,” katanya.

Mengenai kemungkinan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tampil pada pertengahan lagu Anta Permana yang didendangkan Bob Yusof untuk meraih gelaran sama, Ajai berkata, pihaknya tidak tahu gimik diatur dalam segmen berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, kemunculan penyanyi itu di hujung persembahan Bob, tidak boleh diambil kira melainkan dimaklumkan penganjur.

Selain Ajai selaku ketua juri, AJL 34 diadili barisan tenaga profesional seperti Datuk Wah Idris, Datuk Mokhzani, Sharon Paul, Altimet, Edrie Hashim, Aznul Haidi, Helen Yap, Azmeer dan Cat Farish.

Ahad lalu, lagu Sumpah nyanyian dan ciptaan Naim Daniel diumumkan juara AJL34 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil.

Naib juara AJL34 menjadi milik lagu Bangun ciptaan Navigator dan penyanyinya, Aman Ra.

Menduduki tempat ketiga adalah Anta Permana hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong. Lagu disampaikan Bob dan penampilan khas Siti.

Vokal luar biasa Hafiz ketika mendendangkan lagu Kisah Cinta Kita membawa tuah buatnya apabila diumumkan pemenang trofi Vokal Terbaik. Ini adalah kemenangan keempat Hafiz bagi kategori ini di pentas AJL.

Berita Harian X