Rabu, 12 Februari 2020 | 8:30am
Mimi mengaku kesihatannya tidak sebaik dulu dan akan menjalani pembedahan mata, April depan. Foto NSTP/Aswadi Alias
Mimi mengaku kesihatannya tidak sebaik dulu dan akan menjalani pembedahan mata, April depan. Foto NSTP/Aswadi Alias

'Kalau tak datang, nanti tak dijemput lagi'

KUALA LUMPUR: Jika difikirkan kesihatan diri, berat hati pelakon dan penyanyi era 1960-an, Mimi Loma, 73, hendak memenuhi jemputan majlis, apatah lagi acara glamor seperti pelancaran produk.

Namun, bimbang tidak lagi diundang, Mimi menggagahkan diri menghadiri majlis biarpun dalam keadaan berkerusi roda.

Mimi atau nama sebenarnya, Siti Aminah Ismail mengaku kesihatannya tidak sebaik dahulu.

“Saya tidak berapa sihat... Macam-macam penyakit yang tidak disangka dihidapi. Seperti yang dikatakan doktor, sakit saya ini, bila-bila masa saja boleh menyerang.

“Malah, disebabkan sakit yang menyerang mata, saya perlu berkerusi roda kerana penglihatan agak terjejas.

“Namun, saya reda dengan ketentuan Allah. Insya-Allah, April ini, saya akan menjalani pembedahan mata,” katanya kepada BH Online.

Mimi yang juga adik Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Mariani memberitahu, dia sudah tidak aktif menyanyi.

“Suara saya masih ada, tapi tidak seperti dulu. Saya hanya menyanyi secara santai jika dijemput.

“Iyalah, nyanyi biasa-biasa sahaja mengikut usia dan keupayaan saya,” katanya yang membintangi filem Ahmad Albab terbitan 1968.

Mimi ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan MS Skinz di sebuah hotel di sini, baru-baru ini. Pada majlis itu, Mimi yang ditemani anaknya, menerima sumbangan daripada pengusaha MS Skinz, pelakon, Ezany Nizariff.

Berita Harian X