Rabu, 12 Februari 2020 | 4:33pm
Elly Mazlein tidak berkecil hati dengan sindiran netizen terhadapnya. - Foto Ihsan IG Elly Mazlein

Gelagat Elly, suami keterlaluan?

KUALA LUMPUR: Gelagat suami Elly Mazlein, Mohamad Azlan Che Nuh mencium tengkuk ketika pelakon dan penyanyi itu sedang memasak disifatkan keterlaluan.

Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom berkongsi video kemesraannya di laman Instagramnya, baru-baru ini.

Seperti biasa, sifat gedik Kak Lina Pom Pom mengundang perhatian netizen hingga ada menganggap aksinya berlebihan dan mengada-ngada. Ada yang menyifatkan fasa awal perkahwinan serba indah, tetapi natijahnya akan diketahui kemudian hari.

Bagaimanapun, tidak kurang juga ketawa dengan gelagat terlebih gedik Kak Lina Pom Pom itu. Reaksi manja ibu Putri Sara Sefhia membalas semula kutukan dan sindiran dalam loghat Perak dan Kelantan nyata menggeletek hati.

“Hey kamu, Maznah Tinah, saya perhati saja kamu. Nak marah pun ada. Tapi malas nak marah. Kita orang Perak tak suka gaduh. Pula sekarang, kita sudah campur Kelantan (berkahwin dengan suami dari sana). ‘Ambo ore Kelate’ juga sekarang ni...

“Kamu, jangan sakit hati. Biarlah suami teman nak cium belakang tengkuk. Sudah lama teman tak merasa. Biarlah teman bahagia.

“Gedik pun seronok juga kadang-kadang wahai kamu,” kongsinya.

Elly berkata, cercaan dan komen negatif seorang wanita dalam laman sosial tidak memberi kesan kepadanya.

“Tak apalah, teman tak rasa apa-apapun. Teman tak kisah.

“Tetapi, kalau nak tulis atau menaip, fikirlah dulu. Kita orang Malaysia. Kamu, janganlah buat perangai. Biarlah teman nak buat apa sekalipun, usah sakit hati.

“Apapun kamu, teman tak marah. Teman suka,” katanya sambil memberikan gelak jahat.

Sebelum ini, Elly mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Azmi Hatta pada 9 November 2014 dan dikurniakan anak perempuan, Putri Sara Sefhia, 4. Mereka bercerai pada 15 Oktober 2015. Elly kemudiannya bertemu jodoh dengan Mohamad Azlan pada 18 Januari lalu.

Berita Harian X