Jumaat, 14 Februari 2020 | 3:00pm
Pengarah, Mamat Khalid membuat persembahan sempena majlis tayangan filem Rock 4: Rockers Never Dai. NSTP/Aizuddin Saad

Mamat makin sihat, berkerusi roda

KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan pengarah, Mamat Khalid kini beransur sihat, biarpun menggunakan kerusi roda.

Sebelum ini, pengarah filem Rock 4: Rockers Never Dai itu beberapa kali dimasukkan ke hospital, malah dilaporkan berada dalam keadaan koma, tahun lalu.

“Badan saya penuh dengan lebihan air hingga menyukarkan pernafasan selepas selesai penggambaran filem Rock 4: Rockers Never Dai. Dalam tempoh diuji dengan sakit, ada yang mendakwa saya terkena buatan orang.

“Akhirnya, doktor mengesahkan penyakit saya berkaitan dengan pneumonia. Saya akui, paru-paru dipenuhi air hingga sukar bernafas dan sampai satu tahap, saya perlu ditidurkan selama 21 hari. Saya bukannya tiba-tiba koma, sebaliknya ditidurkan.

“Kebiasaannya, maksimum seseorang ditidurkan hanya 15 hari, tetapi saya sedikit aneh seperti Victor Frankenstein, tidur selama 21 hari. Bagaimanapun, saya berkeras mahu pulang selepas sebulan berada di hospital.

“Saya tidak mahu terlalu memanjakan badan. Lagi pula, kurang sikit membayar bil hospital,” katanya kepada BH Online dengan nada berseloroh.

Mamat ditemui pada majlis tayangan filem Rock 4: Rockers Never Dai terbitan Enjit Semut milik Mamat dengan kerjasama Primeworks Studios, baru-baru ini. Biarpun berkerusi roda, Mamat tetap hadir memberikan sokongan filem arahannya.

Mamat berkata, dia menjalani dialisis sebanyak 13 kali dalam tempoh mendapat rawatan di hospital.

“Pesakit lain buat dialisis pun tidak sebanyak itu... Alhamdulillah, saya semakin sihat selepas pulang ke rumah.

“Badan sudah sihat , tetapi perlu berpantang. Saya tak boleh minum air banyak.

“Namun, saya pantang nampak air batu atau cendol, nak bedal. Hati saya juga tak boleh terlalu banyak menerima susu. Bayangkan, berapa banyak susu dalam cendol. Degil sememangnya sikap semula jadi saya,” katanya.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid berkata, dia termuntah semula selepas minum cendol.

“Lucunya, saya nak makan lagi cendol biarpun selepas muntah. Gelagat seperti orang yang tidak sakit.

“Akibat degil, saya masuk hospital lagi. Ada yang cakap saya akan dicabut nyawa ketika kali pertama masuk hospital hingga koma. Kali seterusnya, alim ulama datang membacakan doa di hospital.

“Bagaimanapun, kali ketiga saya masuk hospital dalam keadaan agak teruk. Pernah satu malam, saya sangka nampak malaikat maut yang datang nak cabut nyawa, tetapi saya salah pandang. Yang datang mengendap ialah pelakon, Usop Wilcha,” katanya berseloroh.

Semakin stabil, Mamat berkata, dia perlu menjaga tahap kesihatannya sebaik mungkin.

“Saya bersyukur dikelilingi anda semua yang memberikan zat positif. Jika nampak saya minum air banyak termasuk cendol, silalah ambil tindakan menghalangnya,” katanya mengukir senyuman.

Dalam perkembangan lain, filem Rock 4: Rockers Never Dai akan menemui penonton di 131 pawagam pada 20 Februari ini. Filem jenama rock keempat itu menampilkan Hazama, Sharwani NS, Adam John, Bulan Terry, Nazimi Fahmi, Dewa Sapri dan Datin Noniswara. Malah, watak cameo dilakonkan daripada pelakon sebelum ini seperti Khir Khalid, Pekin Ibrahim dan Datuk Awie menambah rencah filem ini.

Berita Harian X