X
Isnin, 17 Februari 2020 | 4:02pm
Pelakon, Puteri Sarah Liyana akan meminta keizinan suami, Syamsul Yusof sebelum menerima tawaran lakonan. NSTP/Aswadi Alias
Pelakon, Puteri Sarah Liyana akan meminta keizinan suami, Syamsul Yusof sebelum menerima tawaran lakonan. NSTP/Aswadi Alias

Syamsul izin Puteri Sarah kembali berlakon

KUALA LUMPUR: Cinta pelakon, Puteri Sarah Liyana, 35, terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar biarpun lebih enam tahun terpaksa mengetepikan minat demi memberi tumpuan terhadap keluarga.

Kali terakhir isteri kepada pengarah dan pelakon popular, Syamsul Yusof itu membintangi drama pada 2013.

Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 35, dia kembali ke lokasi penggambaran sejak tahun lalu, tetapi hanya menerusi naskhah tidak menuntut masa yang panjang.

“Saya kembali dengan mengendalikan program Glam terbitan RTM sebagai hos pada Oktober tahun lalu. Kemudiannya, saya berlakon telefilem dan akan datang, saya akan menjayakan sebuah lagi telefilem.

“Saya tak mampu meninggalkan dunia lakonan kerana minat. Saya sudah biasa dengan sibuk, saya boleh melompat-lompat ke beberapa lokasi penggambaran dalam masa sehari.

“Disebabkan tak mahu bosan, saya mula berniaga. Apabila berniaga, timbul pula rasa nak berlakon,” katanya kepada BH Online.

Sarah berkata, dia mendapat keizinan suami, tetapi ada syarat.

“Suami izinkan saya berlakon tetapi hanya telefilem. Saya tak boleh terima tawaran berlakon drama bersiri kerana ia mengambil masa yang panjang, sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Sungguhpun begitu, saya akan bertanya pada suami terlebih dahulu sebelum menerima tawaran. Saya jaga batasan sebagai isteri orang,” katanya.

Bagaimanapun, Sarah menafikan suaminya punca dirinya menyepikan diri daripada dunia lakonan.

“Suami tidak pernah halang minat saya. Sebelum ini, saya ada anak kecil dan masih belum pandai mengendalikan masa.

“Bagaimanapun, saya semakin faham rentak apabila dikurniakan dua cahaya mata. Sekarang, Syamsul pun sudah boleh jaga anak apabila saya bekerja, jadi tiada masalah untuk saya kembali berlakon.

“Saya akui pernah mengeluarkan kenyataan saya perlu memperlahankan kerjaya lakonan apabila berkahwin, tetapi jiwa saya meronta-ronta mahu berlakon. Tetapi, berlakon bukanlah keutamaan, tidak mengapa tiada tawaran kerana keluarga menjadi keutamaan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikannya, Shara, baru-baru ini.

Mengusahakan produk kecantikan sejak 2018, ia adalah salah satu cara untuk Sarah sibuk.

“Alhamdulillah, ia mendapat sambutan baik. Syamsul juga menyokong saya berniaga,” katanya. Syamsul turut hadir menyokong Sarah pada majlis pelancaran.

Mengulas kelihatan gugup ketika berucap, Sarah berkata inilah kali pertama berucap di hadapan suaminya.

“Ini kali pertama suami datang ke majlis pelancaran produk saya. Selalunya, saya duduk di tempatnya pada majlis tayangan filem, dia yang bercakap di hadapan, hari ini pula sebaliknya.

“Suami menegur, saya boleh berlakon tetapi kenapa tak boleh bercakap di hadapan tetamu. Betul juga, berlakon saya okay, bercakap gugup pula,” katanya.

Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014. Pasangan itu dikurniakan anak lelaki, Syaikul Islam, 3 dan Summayyah, 1.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X