Isnin, 17 Februari 2020 | 6:56pm
Sam mengaku sedang mengenali hati budi Eifa yang menemaninya pada sidang media Riot Fest di ibu negara, petang tadi. Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Sam mengaku sedang mengenali hati budi Eifa yang menemaninya pada sidang media Riot Fest di ibu negara, petang tadi. Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Siapa dia Sam?

KUALA LUMPUR: Kelibat gadis manis berambut panjang di sisi Sam pada acara dihadirinya petang tadi, mencetuskan spekulasi apakah vokalis Bunkface itu sudah menemui pengganti.

Menjawab pertanyaan media, Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Anuar Baharom, 32, bagaimanapun menjelaskan, gadis dikenali sebagai Eifa, 25, adalah teman baiknya.

“Eifa adalah kawan baik dan peneman saya ke majlis ini. Boleh dikatakan kami sedang mengenali hati budi masing-masing.

“Kami baru berkenalan... Baru beberapa bulan saja. Kami jumpa melalui pengurus saya, Farriz.

“Itu sahaja yang boleh dikongsi. Jika ada proses selanjutnya, saya akan cerita. Kalau ada rezeki, Insya-Allah. Doakan yang baik-baik untuk saya,” katanya pada sidang media Riot Fest, di sini.

Sam sudah setahun menduda sejak bercerai dengan bekas isterinya, Aida Azira Husin, Januari tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak lelaki, Maleeq.

Sam berkata, Maleeq menerima hubungannya dengan Eifa.

Sementara itu, mengulas mengenai Riot Fest yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang pada 4 April depan, Sam teruja membuat persembahan bersama band Hujan.

“Buat julung kalinya kami akan mengadakan persembahan selama tiga jam bersama Hujan. Bukan senang nak tengok kami beraksi selama itu,

“Jadi ini adalah peluang untuk peminat datang beri sokongan,” katanya.

Selain Bunkface dan Hujan, Riot Fest membariskan band indie lain seperti Bittersweet, Salam Musik, Plague Of Happiness, Iqbal M, Toko Kilat dan Aman Ra.

Maklumat mengenai pembelian tiket boleh didapati di proticket.com.my/riotfest.

Berita Harian X