Isnin, 17 Februari 2020 | 7:23pm
Zahirah lebih selesa mengunci mulut apabila ditanya gosip bakal bernikah dengan Aiman, Khamis ini. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Zahirah lebih selesa mengunci mulut apabila ditanya gosip bakal bernikah dengan Aiman, Khamis ini. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Aiman, Zahirah nikah Khamis ini?

PETALING JAYA: ‘Tunggu Khamis ini.’

Itu jawapan Zahirah MacWilson apabila ditanya gosip bertebaran mendakwa dia bakal disatukan dengan kekasih pilihan hati, Aiman Hakim Ridza.

Pelakon drama rantaian Curi-Curi Cinta ini bagaimanapun lebih selesa mengunci mulut mengenai perkara itu.

“Tunggu dan lihat sahaja pada hari kejadian (merujuk kepada Khamis ini). Majlis itu akan diadakan di Malaysia,” katanya kepada BH Online.

Zahirah berkata, dia tidak berniat merahsiakan tarikh perkahwinanan.

Sebaliknya, tegas pelakon berusia 25 tahun ini, dia mahu membuat kejutan selain menikmati momen sebelum majlis berlangsung.

“Bukan niat berahsia tetapi majlis itu cukup besar buat saya.

“Jadi biarlah perkara itu menjadi satu kejutan," katanya ditemui pada majlis pelancaran filem Bulan & Pria Terhebat di Damansara di sini, hari ini.

Turut hadir, pelakon lain iaitu Zizan Razak, Maya Karin, Alif Hadi dan pengarah, Ghaz Abu Bakar.

Walaupun tidak menjelaskan butiran majlis pernikahan, pelakon kacukan Melayu-Inggeris ini mengaku persiapan lancar biarpun sibuk mempromosikan filem Bulan & Pria Terhebat yang memasuki pawagam pada 12 Mac depan.

Sebelum ini, Zahirah dan Aiman memuat naik beberapa foto dipercayai gambar praperkahwinan dengan tanda pagar #aavethedate200220.

Tindakan itu mencetuskan spekulasi mereka bakal disatukan pada tarikh berkenaan. Aiman dan Zahirah mengikut pertunangan, Jun lalu.

Berita Harian X