Selasa, 18 Februari 2020 | 2:19pm
AISHAH bersama Ashraf dan Bunga Citra Lestari. - Foto ihsan Instagram Aishahjennifer
AISHAH bersama Ashraf dan Bunga Citra Lestari. - Foto ihsan Instagram Aishahjennifer

Aishah pucat, menggeletar tangan

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyampai radio Mix FM, Aishah Sinclair pucat dan menggeletar tangan apabila mendapat khabar duka kematian abangnya, Allahyarham Ashraf Sinclair pada jam 5.51 pagi (waktu Malaysia) hari ini.

Rakannya yang juga penyampai radio Mix FM, Prem Shanker berkata, Aishah mendapat panggilan daripada ibunya lebih kurang sepuluh minit sebelum ke udara. Dia, Aishah dan Rod Monteiro mengendalikan program Mix Breakfast, bermula jam 6 pagi.

“Saya melihat Aishah menjawab panggilan ibunya sebelum ke udara. Saya dan Rod boleh mendengar suaranya dalam keadaan tertekan. Kemudiannya, kami melihat wajah Aishah pucat dan tangannya menggeletar.

“Apabila kami bertanya, dia memberitahu abangnya sudah tiada. Bukan hanya mengejutkan Aishah, kami juga terpaku mendengarnya. Dari situ, kami minta Aishah mengemas barang dan segera pulang.

“Saya menemani Aishah hingga suaminya tiba. Selalunya, Aishah memandu kereta sendiri tetapi hari ini, dia dihantar suami ke Astro memandangkan terbabit dengan penggambaran.

Kenangan waktu kecil, Ashraf (kiri), Adam dan Aishah.
Kenangan waktu kecil, Ashraf (kiri), Adam dan Aishah.

“Ketika saya menemani Aishah, Rod memaklumkan kepada ketua kami supaya dapat memainkan lagu bagi menggantikan ketiadaan saya dan Aishah buat sementara waktu,” katanya kepada BH Online.

Bagi menghormati Aishah dan keluarga, katanya, mereka tidak terus memaklumkan kepada stesen radio, sebaliknya hanya mengumumkan berita pemergian arwah Ashraf pada jam 8 pagi.

“Kami tunggu berita rasmi keluar dahulu, kemudian barulah kami berkongsi bersama pendengar. Jujurnya, kami turut mengalirkan air mata dan bersedih atas pemergian arwah Ashraf pagi tadi.

“Keluarga Aishah seperti keluarga kami. Bukan hanya arwah, kami juga sangat rapat dengan Adam dan Yuna, malah memanggil ibunya dengan panggilan Umi,” katanya.

Selain Prem, Rod turut berkongsi perasaan kesedihan atas pemergian arwah Ashraf.

Ashraf yang juga suami kepada penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari meninggal dunia di Hospital MMC, Jakarta, Indonesia pada jam 5.51 pagi (waktu Malaysia), hari ini.

ADIK beradik, Adam (kiri), Aishah dan Ashraf ketika berkumpul di Kuala Lumpur.
ADIK beradik, Adam (kiri), Aishah dan Ashraf ketika berkumpul di Kuala Lumpur.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X