Selasa, 18 Februari 2020 | 5:31pm
KENANGAN Sazzy Falak bersama sahabat baiknya, Ashraf Sinclair. - Foto IG Sazzy Falak
KENANGAN Sazzy Falak bersama sahabat baiknya, Ashraf Sinclair. - Foto IG Sazzy Falak

Tercampak sandwic kerana terkejut

KUALA LUMPUR: Terkejut dengan pemergian Allahyarham Ashraf Sinclair, pelakon Sazzy Falak

tercampak sandwic di tangan, lalu segera mendapatkan suami, Nazril Idrus, untuk berkongsi perkhabaran duka itu.

Menerima panggilan telefon daripada adik arwah, Aishah, Sazzy yang ketika itu sedang menikmati sarapan, mengaku jantung hampir luruh apabila mendapat berita kematian teman baiknya itu.

“Saya masih mengimbas kembali momen ketika membaca mesej pemergian kamu pagi tadi dan bagaimana luruh jantung ini. Bagaimana berita yang disiarkan menyentap nafas ini. Saya sampai terlempar sandwic yang berada di tangan dan berlari ke Nash (suami) hingga terdiam tanpa bicara. Saya berikan telefon kepada Nash dan dia sendiri cukup terkejut,” katanya dalam status yang dimuatkan di laman Facebook.

Sebagai teman rapat, hati Sazzy terkesan dengan pemergian aktor yang menempa nama di negara seberang itu akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia, pagi tadi.

Sazzy dan arwah Ashraf pernah bergandingan menerusi program Beat TV, selain membintangi drama Gol & Gincu suatu ketika dulu.

Terdahulu menerusi laporan BH Online, Sazzy terbang ke Jakarta ditemani suami, Nazril Idrus untuk memberi penghormatan kepada arwah.

“Kala memerhati awan dari tingkap kapal terbang, ia mengingatkan saya kepada percutian terakhir ke Jakarta. Ia pada Mac 2019 kira-kira hampir setahun lalu. Agak menakutkan bagaimana dalam tempoh setahun banyak benda berlaku sekelip mata.

“Saat itu, terngiang-ngiang memori apabila arwah menunggu kiriman barang dari Kuala Lumpur melalui diri ini. Malah, ada rancangan meraikan hari lahir saya ketika itu. Namun apa yang lebih utama ialah kita dapat bersua. Itu juga yang kita lakukan termasuk berkongsi banyak benda termasuk di hari tua kelak.

“Namun kamu pergi terlalu awal sahabatku. Kamulah antara insan yang akan meyakinkan saya dalam suatu keadaan diri ini tidak pasti. Kamu juga sangat peka, sangat memahami dan cukup menyedari bagaimana proses hidup ini. Memori kamu akan terus hidup dan saya akan pastikan perkara itu. Saya harap kamu tenang di sana, Ash (panggilan untuk arwah),” tulisnya.

Sazzy turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kandung dan mentua arwah.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan semoga beliau ditempatkan bersama kalangan yang beriman,” tulisnya.

Berita Harian X