Rabu, 19 Februari 2020 | 11:00am
Fazura berkongsi foto kenangan bersama arwah dan Bunga Citra Lestari ketika mereka bertemu di sebuah majlis. Turut kelihatan, suami Fazura, Fattah Amin. Foto IG Nur Fazura
Fazura berkongsi foto kenangan bersama arwah dan Bunga Citra Lestari ketika mereka bertemu di sebuah majlis. Turut kelihatan, suami Fazura, Fattah Amin. Foto IG Nur Fazura

Arwah Ashraf adalah 'Eddy' yang saya kenali - Nur Fazura

KUALA LUMPUR: Berduka atas pemergian Allahyarham Ashraf Sinclair yang dianggap abang dan sahabat baik, Nur Fazura mengimbau kenangan berlakon filem Gol & Gincu bersama pelakon itu.

Meluahkan emosi melalui entri Instagram, Fazura menyifatkan arwah sentiasa mendorong dirinya mengejar impian, bergembira dan menjadi pelindung, sama seperti watak Eddy yang dilakonkan dalam filem arahan Bernard Chauly itu.

“Dari set penggambaran, kami menjadi rakan niaga sehinggalah arwah bertemu cintanya dan memutuskan mahu berkahwin.

“Saya tak akan lupa cahaya di mata arwah apabila dia bercerita mengenai Bunga (Bunga Citra Lestari), bagaimana dia dilamun cinta dan keseronokan untuk membuat lamaran.

“Ashraf adalah insan berhati mulia yang mempunyai empati terhadap insan lain dan aura positif yang mampu menerangi segenap ruang,” katanya dalam entri itu.

Melakonkan watak Putri, filem Gol & Gincu yang ditayangkan pada 11 Ogos 2005, menemukan Fazura dan Ashraf, pada awal karier mereka.

Semalam, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Ashraf di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), di Kuningan, Jakarta, pada jam 4.51 pagi waktu tempatan atau 5.51 pagi waktu Malaysia.

Fazura mengaku tidak percaya berita yang didengari mengenai pemergian Ashraf, semalam.

“Mendengar perkhabaran itu, saya terus menyangka ia berita palsu. Tak mungkin... Saya fikir.

“Tetapi apabila diberitahu, Doddy (pengurus Bunga) mengesahkannya, saya terduduk dan menangis sambil terus teringat kenangan bersama arwah dahulu,” katanya yang mengambil masa seharian untuk menerima kenyataan Ashraf sudah tiada.

Fazura berkata, Ashraf dikenang sebagai insan yang suka ketawa, menyayangi keluarga dan sahabat, komited dengan kerjaya selain suka membantu orang lain.

“Kedukaan saya adalah cebisan kecil jika dibandingkan dengan apa yang dilalui keluarga Ashraf terutama Bunga. Kenangan kamu dan Bunga yang saling mencintai, membuatkan saya menangis.

“Saya doakan kamu mendapat Husnul Khatimah dan Allah mengurniakan tempat yang indah di Jannah,” katanya.

Entri dikongsi Fazura itu mendapat hampir 100,000 ‘like’ sehingga pagi ini.

Berita Harian X