Rabu, 19 Februari 2020 | 12:45pm
Antara foto dikongsi Nazril yang mengimbau kenangan persahabatannya dengan arwah Ashraf. Foto IG Nazril Idrus
Antara foto dikongsi Nazril yang mengimbau kenangan persahabatannya dengan arwah Ashraf. Foto IG Nazril Idrus

Nazril ingat pesanan arwah Ashraf

KUALA LUMPUR: Nazril Idrus, iaitu suami pelakon Sazzy Falak, mengenang sahabat baiknya, Allahyarham Ashraf Sinclair sebagai insan berjiwa besar.

Nazril yang ‘terbang’ ke Jakarta bersama Sazzy untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah, tidak lupa pesanan dan panduan dikongsi Ashraf selama mereka berkawan.

“Kamu menjadi tempat saya bergantung. Ashraf kamu sahajalah jadi tempat saya berkongsi apabila lemah semangat atau perlu sokongan.

“Kita bercakap segala-gala mengenai hidup, kekayaan dan kematian. Kamu banyak memberi tunjuk ajar untuk bergerak ke hadapan dan apabila perlu melangkah ke belakang. Bernafas, pilih dan bertindak.

“Kamu selalu cakap mengenai bagaimana kita pilih hidup ini. Bagaimana kita cari tujuan hidup dan bernafas. Iya, kamu selalu berpesan mengenai perkara yang sering saya ambil lewa iaitu bernafas,” katanya melalui coretan di Instagram.

Pagi semalam, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Ashraf di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), di Kuningan, Jakarta, pada jam 4.51 pagi waktu tempatan atau 5.51 pagi waktu Malaysia.

Nazril berkata, Ashraf sering mengajarnya untuk mencabar diri setiap hari.

“Kamu sebut jika ditakdirkan bertemu ajal, kita sudah melakukan sebaik mungkin sepanjang hayat dengan sepenuh hati.

“Jadi, kita bersedia pada bila-bila masa saat dicabut nyawa. Kita juga selalu bercakap mengenai apa yang boleh dilakukan setiap hari untuk memberi manfaat dan bantuan kepada orang lain,” katanya.

Nazril menyifatkan teman baiknya itu sangat bijak, baik hati dan mempunyai integriti.

“Tiada ego dalam hati kamu sebaliknya hanya lelaki yang sangat menyayangi. Sejak kita bersua, kamu menunjukkan transformasi menjadi manusia yang matang dalam hidup.

“Sukar percaya kamu sudah pergi. Sungguh tak dapat saya percaya semua ini,” katanya.

Nazril turut memuat naik foto dan video kenangan bersama arwah yang ditujukan khas buat Noah Aidan Sinclair, iaitu anak Ashraf dan isterinya, Bunga Cinta Lestari.

Berita Harian X