Selasa, 25 Februari 2020 | 3:10pm
Penyanyi, Ismaliza Ismail mahukan kehidupan privasi bersama suami baharu. NSTP/Mustaffa Kamal
Penyanyi, Ismaliza Ismail mahukan kehidupan privasi bersama suami baharu. NSTP/Mustaffa Kamal

Hormati suami, Isma tak kongsi kisah rumah tangga

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ismaliza Ismail, 41, enggan berkongsi kisah perkahwinan kedua bersama kakitangan kerajaan, Mohd Dzaki, 36.

Disatukan pada 21 Disember tahun lalu, bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh itu tidak mengundang wartawan ke majlis perkahwinannya, hanya memuat naik gambar perkahwinan melalui laman Instagram (IG).

“Saya tidak menguar-uarkan perkahwinan kedua ini. Ia kerana menghormati permintaan suami dan keluarga mentua yang tidak biasa dengan perhatian dunia hiburan.

“Cukup orang luar tahu saya sudah berkahwin dan suami berkerja sebagai kakitangan kerajaan. Apa yang dikongsikan di IG, itu sahaja yang peminat boleh tahu. Untuk menggandingkan dalam sesi fotografi atau menonjolkan suami ke depan, perkara ini tak akan berlaku.

“Saya tak mahu terlalu berkongsi kehidupan peribadi kepada masyarakat. Saya pernah mengalami kegagalan rumah tangga sebelum ini, jadi saya belajar daripada kesilapan. Saya mahukan kehidupan yang lebih privasi,” katanya kepada BH Online.

Pada usia mencecah 41 tahun, Isma berkata, dia hanya mahu menjalani kehidupan tenang dan gembira.

Pernah melalui episod kehancuran rumah tangga bersama komposer, Zul 2 By 2, kakak kepada penyanyi, Tomok itu tidak mahu mengenang kisah silam. Sebaliknya, dia kini bahagia melayari kehidupan dengan suami baharunya.

“Walaupun tidak gemar perhatian dunia seni, tetapi suami tak pernah menghalang saya meneruskan kerjaya dalam bidang ini. Dia juga faham saya mencari rezeki sebagai penyanyi,” katanya.

Ditanya perkenalan dengan suami, Isma memilih untuk tidak berkongsi mengenainya. Bagaimanapun, ibu kepada lima cahaya mata itu tidak menyangka dikurniakan jodoh dalam tempoh yang singkat.

“Saya tak pernah menutup pintu hati untuk menerima kehadiran suami dalam hidup kerana percaya dengan ketentuan jodoh.

“Sebagai insan kerdil, saya tidak tahu perancangan yang disusun oleh Allah SWT. Saya juga tidak pernah menyangka mendapat jodoh secepat ini. Hanya dua tahun bersendiri, saya dipertemukan jodoh dengan lelaki bujang.

“Saya jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran untuk memperbaiki kekurangan diri, biarpun pernah berdepan dengan kegagalan rumah tangga. Saya tutup buku lama, buka buku baharu,” katanya.

Isma berkata, anak-anak dan keluarga menerima keputusannya untuk mendirikan rumah tangga dengan baik.

“Mereka tiada masalah untuk menerima kehadiran orang baharu dalam hidup kami. Kini, anak bergilir tinggal bersama bapa mereka,” katanya.

Mengulas mengenai cahaya mata, Isma menyerahkan pada kuasa Tuhan.

“Saya tak mahu terlalu mengharap kerana enggan kecewa. Jadi, saya hanya mampu berserah. Andai dikurniakan cahaya mata tentulah saya dan suami bersyukur dan menerima dengan hati terbuka,” katanya.

Berita Harian X