Selasa, 25 Februari 2020 | 7:41pm
Anggota Search sepakat memilih Awie sebagai penyanyi gantian Amy pada Konsert Apologia Search & Awie di ibu negara, akhir bulan depan. Foto NSTP/Rohanis Shukri
Anggota Search sepakat memilih Awie sebagai penyanyi gantian Amy pada Konsert Apologia Search & Awie di ibu negara, akhir bulan depan. Foto NSTP/Rohanis Shukri

Search dakwa dua tahun tiada 'show', Amy beri alasan sibuk

KUALA LUMPUR: Mendengar nama, pasti peminat menyangka Konsert Apologia Search & Awie yang dirancang akhir bulan depan, bakal menggandingkan vokalis band rock ‘legend’ itu, Amy dan penyanyi Wings dalam persembahan gah.

Namun, hakikatnya, Amy tidak dapat menyertai konsert berkenaan, sebaliknya, anggota Search memilih Datuk Awie sebagai penyanyi gantian.

Mendedahkan perkara itu, pemain bes kumpulan Search, Nasir Daud berkata, Amy memberi alasan sibuk dan tidak dapat memberi komitmen menjayakan konsert yang bakal diadakan di The Bee, Publika, di sini, pada 28 Mac depan.

“Untuk konsert ini, saya berbincang dengan pengurusan Amy dan jawapan diterima, beliau sibuk.

“Jawapan sama diberi Amy setiap kali ada pihak menawarkan Search membuat persembahan.

“Hakikatnya, hampir dua tahun kami tiada ‘show’ dan pendapatan semakin berkurangan... Sampai bila harus kami tunggu? Hidup perlu diteruskan.

“Justeru, apabila tawaran ini datang dan Amy tidak dapat beri komitmen, kami sepakat memilih Awie untuk bergabung dalam konsert ini,” katanya pada sidang media Konsert Apologia Search & Awie di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pembabitannya dalam konsert itu, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman berkata, beliau hanya mahu membantu kumpulan berkenaan mencari rezeki.

“Saya tidak berminat masuk campur dalam urusan mereka dan melihat perkara ini dari sudut positif.

“Pembabitan saya dalam konsert ini adalah untuk membantu anggota Search mencari rezeki. Saya juga mahu menghargai bakat mereka sebagai pemuzik profesional yang sudah hampir empat dekad dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Amy ketika dihubungi BH Online tidak menafikan beliau memberi alasan sibuk sehingga tidak dapat menyertai konsert terbabit.

Namun, Amy mendakwa terkilan apabila tawaran diberi secara mengejut.

“Memang saya sibuk dengan urusan perniagaan dan perlu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Indonesia.

“Lagipun, tawaran dibuat secara mengejut. Saya bukan jenis hari ini tanda tangan perjanjian, bulan depan buat konsert. Sekurang-kurangnya, berilah tempoh enam bulan untuk saya buat persediaan,” katanya.

Biarpun tidak dapat beraksi, Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman merestui konsert berkenaan.

Tiket menyaksikan Konsert Apologia Search & Awie anjuran Imaginex boleh didapati dengan melayari www.ilassotickets.com.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X