Rabu, 26 Februari 2020 | 8:30am
Penyanyi, Sarah Fazny berputus asa dan hampir berhenti menyanyi apabila usaha yang dilakukan tidak melonjakkan nama. NSTP/Rohanis Shukri
Penyanyi, Sarah Fazny berputus asa dan hampir berhenti menyanyi apabila usaha yang dilakukan tidak melonjakkan nama. NSTP/Rohanis Shukri

Sarah Fazny putus asa tak popular?

KUALA LUMPUR: Perjalanan kerjaya penyanyi, Sarah Fazny kurang bergemerlapan apabila percubaan memahat nama menerusi beberapa program realiti seakan tidak menjadi.

Sarah pernah menyertai program realiti, Mentor Legend pada 2015 dan menjadi protege penyanyi lagenda, Amy Search. Seterusnya, gadis berusia 25 tahun itu mempertaruhkan nasib menyertai pertandingan Duo Star dan D’Academy Asia musim keempat di Jakarta, Indonesia. Itupun tidak membantu melonjakkan popularitinya.

Sejujurnya, Sarah berkata, istilah putus asa tidak pernah menguasai diri.

“Namun, saya juga manusia biasa, sekuat mana berjuang, tetapi akhirnya hati menjadi rapuh. Buat pertama kali, saya mengalah, tahun lalu.

“Pada satu tahap, saya tak mampu menjadi kuat lagi. Saya tewas dan berputus asa hingga hilang daripada laman sosial. Malah, hati rasa seperti mahu berhenti menyanyi dan melakukan kerja lain.

“Saya sentiasa berfikir apa lagi yang nak dibuat untuk terus memahat nama. Saya ibarat hilang daripada radar dunia seni, tahun lalu. Keluarga pun terkejut dengan tindakan saya,” katanya kepada BH Online.

Sarah berkata dia sedar masih ada peminat dan orang di belakang yang mahu dia terus berjuang.

“Tetapi, saya bagaikan hilang punca. Bagaimanapun, saya kembali beroleh semangat apabila hadir dengan single terbaharu, Mantankan Saja ciptaan Faishal Rizal dan lirik oleh saya dan komposer itu. Ia di bawah terbitan Broadway NuMusic.

“Apabila difikir semula, ada ramai penyanyi yang lama mengorak langkah tetapi belum bernasib baik. Takkan saya yang masih muda dan baharu ini mahu mengalah. Keluarga tahu minat saya dalam bidang nyanyian

“Malah, mereka faham kedegilan saya,” katanya.

Sarah berkata, dia pernah gementar hingga muntah dan hampir mengalah, namun tetap bangkit serta bertahan hingga berjaya ke peringkat akhir ketika menyertai program realiti, Mentor Legend.

“Begitu juga ketika menyertai program D’Academy Asia. Mama tak yakin saya boleh mara kerana saingan peserta Indonesia sangat sengit, tetapi rezeki saya sangkut juga,” katanya.

Menerusi single Mantankan Saja, Saran berkata dia mencabar diri menyanyikan lagu pop dangdut buat kali pertama. Selama ini, dia selesa dengan genre balada.

“Saya cabar diri. Sebelum ini, ramai minta saya menyanyikan lagu irama dangdut.

“Cuma, kelainan lagu ini saya mempersembahkan genre pop dangdut. Lagu Mantankan Saja dirakam pada Oktober tahun lalu,” katanya yang menyertai Broadway NuMusic pada awal Mei tahun lalu, selepas kontrak bersama Indigital Music berakhir.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X