Rabu, 26 Februari 2020 | 5:56pm
Bunga Citra Lestari akan muncul dalam Konsert Romantic Valentine bersama Ronan Keating dan Christian Bautista pada Sabtu ini. - Foto IG Ronan Keating
Bunga Citra Lestari akan muncul dalam Konsert Romantic Valentine bersama Ronan Keating dan Christian Bautista pada Sabtu ini. - Foto IG Ronan Keating

Masih berduka, BCL tepati janji muncul dalam konsert

KUALA LUMPUR: Pemergian suami, Allahyarham Ashraf Sinclair masih terasa, namun penyanyi, Bunga Citra Lestari (BCL) tetap mengotakan janji untuk muncul dalam Konsert Romantic Valentine bersama Ronan Keating dan Christian Bautista di Pullman Central Park, Jakarta Barat pada Sabtu ini.

Perkara itu disahkan wakil syarikat pengurusan, Yenny Erlin dalam satu kenyataan akhbar bersama penganjur, Full Color Entertainmnet.

Yenny berkata, pelantun lagu Cinta Sejati akan tampil di hadapan khalayak mengadakan persembahan, meskipun masih berduka atas pemergian suami secara mengejut pada 18 Februari lalu.

“Walaupun masih bersedih, BCL mahu bersikap profesional dan meneruskan persembahan bersama Ronan dan Christian.

“Mereka saling mengenali sejak 1990-an. Jadi, ini satu hal positif bagi BCL demi kerjayanya. Dia yakin arwah suaminya pasti menginginkan hal ini,” ujar Yenny.

Pada Konsert Romantic Valentine bersama Ronan featuring BCL & Christian itu, dia akan menyampaikan beberapa lagu solo, selain duet bersama Ronan dan Christian.

Sementara itu, penyanyi Anang Hermansyah berkata, BCL juga akan meneruskan kembali komitmen sebagai juri pada

malam akhir Indonesian Idol bermula Isnin depan.

Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh BCL ketika menghadiri majlis tahlil hari ketujuh pemergian arwah Ashraf yang berlangsung di kawasan Pejaten, Jakarta Selatan.

“Saya menghadiri majlis tahlil dan bertemu BCL yang masih bercuti. BCL berpesan dia akan hadir minggu depan. Saya mendoakan BCL kuat,” kata Anang.

Pelakon kelahiran Malaysia, arwah Ashraf meninggal secara mengejut sejak seminggu lalu di kediamannya di Jakarta Selatan. Allahyarham didapati tidak sedarkan diri dalam bilik tidur dan dikejarkan ke Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre, Kuningan, Jakarta, sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.51 pagi waktu tempatan.

Selain isteri, Allahyarham meninggalkan seorang cahaya mata, Noah Aidan Sinclair berusia 10 tahun.

Berita Harian X