Khamis, 27 Februari 2020 | 10:39pm
Allahyarham Ashraf menyatakan hasrat membawa ayahnya bercuti, sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir. Foto NSTP/Rosela Ismail
Allahyarham Ashraf menyatakan hasrat membawa ayahnya bercuti, sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir. Foto NSTP/Rosela Ismail

Arwah ajak saya bercuti - bapa Ashraf Sinclair

KUALA LUMPUR: Bapa Allahyarham Ashraf Sinclair, Mohamad Anthony John Sinclair berkongsi hasrat arwah yang mengajaknya bercuti berdua, ketika mereka berhubung melalui aplikasi WhatsApp, sehari sebelum pemergian pelakon itu.

Mohamad Anthony memberitahu, dalam perbualan itu, Ashraf yang baru pulang dari menghadiri pertunjukan fesyen di New York, Amerika Syarikat (AS), bercerita mengenai pertemuannya dengan seorang lelaki di sana.

“Arwah beritahu percutiannya sungguh menyeronokkan. Dia terjumpa seorang lelaki yang bercerita mengenai kembara dengan bapanya di Scotland.

“Tertarik dengan idea itu, arwah mengajak saya melakukan perkara sama pada cuti musim panas tahun hadapan.

“Namun, semuanya hanya tinggal kenangan. Ironinya, begitu pantas hidup ini diragut... Saya reda,” katanya ditemui selepas majlis tahlil, doa selamat dan bacaan buat arwah di Masjid Al Ghufran di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail di sini, malam tadi.

Majlis itu dianjurkan Primeworks Studios, TGV Pictures, Infinitus dan Sunstrong Entertainment.

Ini kali pertama Mohamad Anthony bertemu media tempatan sejak pelakon itu meninggal dunia di Jakarta, Indonesia, pada 18 Februari lalu.

Sementara itu, adik Ashraf, Aishah menyifatkan kakak ipar, Bunga Citra Lestari (BCL) sebagai wanita tabah dan kuat.

Aishah berkata, BCL tidak mengemaskini akaun media sosial termasuk Instagram yang mempunyai 14.4 juta pengikut, sejak pemergian arwah.

“Saya nampak Bunga kuat berdepan dugaan ini. Tapi dalam hati, kita tak mampu meneka. Apa yang saya lihat, arwah cukup bermakna dalam hidupnya.

“Bayangkan, pasangan hidup pergi meninggalkan kita sedangkan sudah dirancang untuk menghabiskan hari tua bersama? Ini suatu momen yang cukup mengejutkan dirinya dan kami sekeluarga,” katanya

Aishah percaya BCL sedang cuba menerima hakikat pemergian Ashraf perlahan-lahan.

“Bunga mendapat sokongan padu teman dan ahli keluarga ketika berdepan detik sukar ini.

“Saya berdoa tidak putus-putus untuk dirinya kuat melalui hari mendatang tanpa suami di sisi,” katanya.

Aishah berkata, dia dan keluarga kembali ke tanah air semalam, selepas hampir seminggu berada di Jakarta.

“Kami akan terus menghubungi Bunga dan anak saudara, Noah setiap waktu. Malah, ibu bapa saya akan sering berulang-alik ke Jakarta untuk bertemu mereka,” katanya.

Aishah mengaku sehingga hari ini bagai tidak percaya abangnya sudah pergi menemui Pencipta.

“Macam janggal untuk menganggap arwah sudah tiada. Saya mahu serap aura dan semangat positif arwah untuk terus hidup.

“Saya juga kena kuat untuk beri sokongan kepada ibu bapa terutama BCL dan Noah,” katanya.

Pada 18 Februari lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian arwah Ashraf di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), Kuningan, Jakarta, pada jam 4.51 pagi waktu tempatan atau 5.51 pagi waktu Malaysia.

Arwah meninggalkan balu, BCL dan anak, Noah Aidan Sinclair, berusia 10 tahun.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X