Jumaat, 28 Februari 2020 | 7:09pm
Sherry Ibrahim menutup ruang komen dalam entri gambar kerana tidak mahu menimbulkan perbalahan antara pengikutnya. - Foto Instagram Sherry Ibrahim
Sherry Ibrahim menutup ruang komen dalam entri gambar kerana tidak mahu menimbulkan perbalahan antara pengikutnya. - Foto Instagram Sherry Ibrahim

'Tak salah pakai seluar sukan'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sherry Ibrahim enggan ambil peduli kecaman netizen berikutan gambarnya memakai seluar sukan berwarna kulit yang dimuat dalam laman Instagram (IG) tular, baru-baru ini.

Gambar Sherry mencuri perhatian apabila netizen menganggap pelakon Teduhan Kasih itu seperti berbogel kerana memakai seluar terlalu ketat hingga menampakkan bentuk tubuh.

“Selagi selesa, saya tidak perlu kisah dengan tanggapan netizen. Jujurnya, saya tiada niat mahu menularkan gambar berkenaan.

“Saya rasa tiada apa yang salah, bukan berbogel. Setiap wanita bersenam akan mengenakan pakaian sama.

“Malah, ada wanita mengenakan pakaian sedemikian di luar studio, cuma tidak tular. Malangnya, saya selebriti, jadi apa yang dilakukan menarik perhatian netizen,” katanya kepada BH Online.

Sherry atau nama sebenarnya, Syarizad Ibrahim berkata, dia selalunya membawa pakaian salinan selepas bersenam, setiap hari.

“Saya tertinggal seluar pada hari berkenaan. Jadi, saya terpaksa memakai semula seluar sukan selepas mandi.

“Bagaimanapun, saya tutup dengan beg besar dan terus pulang. Saya tak berada lama-lama dalam pusat membeli-belah berkenaan,” katanya.

Ekoran menerima komen negatif, Sherry berkata, dia bertindak menutup ruangan komen dalam entri gambar berkenaan supaya tiada menimbulkan perbalahan antara pengikutnya.

“Saya tak suka membalas komen kerana tidak nampak keperluan menerangkan perkara sebenar. Bagaimanapun, saya hormati nasihat yang diberikan.

“Saya tutup ruangan komen kerana tidak mahu kecaman berterusan.

“Bagaimanapun, saya tak memadam gambar kerana tidak rasa salah. Bagi saya, itu adalah saya dan saya selesa menjadi diri sendiri,” katanya yang kini giat bersenam.

Bagaimanapun, untuk mengelak perkara berulang, Sherry berkata, dia tidak akan memuat naik gambar sedemikian pada masa akan datang.

Katanya, kesibukan menguruskan perniagaan salun dan kelengkapan wanita antara faktor dirinya kurang muncul di kaca TV. Namun, kembali aktif berlakon selepas perniagaannya berjalan dengan baik.

“Sebelum ini, saya menguruskannya sendiri memandangkan salun dibuka, tahun lalu. Kini, saya sudah mempunyai pekerja, jadi ada masa melakukan kerja lain.

“Saya baharu sahaja menyelesaikan sebuah telefilem siaran untuk Aidiladha. Bagaimanapun, saya tidak terima banyak tawaran lakonan, mungkin orang tahu saya sibuk dengan urusan perniagaan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X