Sabtu, 7 March 2020 | 9:26pm
GAMBAR kenangan Allahyarham Zahri Mohd Nor bersama Rubiah Suparman dan anak-anak.
GAMBAR kenangan Allahyarham Zahri Mohd Nor bersama Rubiah Suparman dan anak-anak.

Suami Rubiah Suparman meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Suami pelakon veteran, Rubiah Suparman, Zahri Mohd Nor menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di USJ, Subang Jaya, dekat sini, akibat penyakit kanser paru-paru, jam 5.15 petang.

Anak tirinya, Arnida Roselay berkata, arwah keluar masuk hospital sejak Januari lalu. Bagaimanapun, disahkan menghidap penyakit kanser paru-paru pada bulan lalu.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya. Hanya sebulan arwah disahkan menghidap kanser paru-paru, dia pergi buat selama-lamanya.

“Arwah tidak menjalani sebarang pembedahan memandangkan usianya mencecah 80 tahun. Kami bimbang risiko tinggi yang bakal diterima,” katanya kepada BH Online.

Allahyarham Zahri Mohd Nor (kanan) bersama isteri, Habsah Hassan dan Engku Emran Engku Zainal Abidin. - Foto Ihsan Facebook Habsah Hassan
Allahyarham Zahri Mohd Nor (kanan) bersama isteri, Habsah Hassan dan Engku Emran Engku Zainal Abidin. - Foto Ihsan Facebook Habsah Hassan

Arnida berkata, keadaan arwah agak baik selepas keluar wad pada Khamis lalu. Bagaimanapun, kesihatannya makin tenat dan kerap tidak sedar diri, sejak semalam.

“Hari ini, arwah langsung tidak sedarkan diri.

“Kami sekeluarga bersedia dengan segala kemungkinan apabila melihat arwah semakin lemah. Dia menghembuskan nafas terakhir di hadapan isteri dan anak-anak.

“Cuma, dia seperti ternanti-nantikan kepulangan seorang anaknya, David Azmi Zahri dari London. Sedihnya, David tiba, arwah sudah tutup mata,” katanya.

Katanya, ibunya reda dengan pemergian arwah.

“Alhamdulillah, mak kuat dan reda dengan pemergian ayah.

“Jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Mukminun, USJ2, sebelum dikebumikan Tanah Perkuburan Islam USJ 22, pagi esok,” katanya.

Berita Harian X