Rabu, 11 March 2020 | 8:30am
Mawar mengaku masih terkesan dengan insiden diperli netizen selepas mengaku tidak tahu mengenai GST, kira-kira lima tahun lalu. Foto NSTP/Rosela Ismail
Mawar mengaku masih terkesan dengan insiden diperli netizen selepas mengaku tidak tahu mengenai GST, kira-kira lima tahun lalu. Foto NSTP/Rosela Ismail

Mawar Rashid masih 'sentap' dengan isu GST

KUALA LUMPUR: Pernah digelar ‘Mawar GST’, Mawar Rashid mengaku masih ‘sentap’ dengan insiden diperli netizen apabila mengaku tidak tahu mengenai cukai itu, ketika bersaing pada program pencarian remaja, kira-kira lima tahun lalu.

Buktinya, pada tayangan video sempena pelancaran produk kosmetik yang diusahakannya, baru-baru ini, Mawar tidak mampu menahan air mata apabila klip temu bual mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada saringan Dewi Remaja 2014/2015, dipertontonkan semula.

Tayangan video yang disunting ahli keluarga tanpa pengawasan pelakon ini, pantas membawa ingatan Mawar kepada insiden berkenaan yang disifatkannya, detik paling teruk dalam hidup.

“Kalau boleh, saya mahu buang jauh kisah itu. Tapi saya belajar banyak perkara. Insiden itu menyebabkan saya jatuh ‘terduduk’.

“Hakikatnya, saya bukan sengaja tidak menjawab soalan mengenai GST. Ketika itu, saya hanya jadi diri sendiri, namun, orang nampaknya tidak boleh terima.

“Pada detik itu, saya gementar dan tergamam hingga jadi mengarut... Saya terlalu lurus,” katanya kepada BH Online.

Mawar yang mengusahakan produk kosmetik, Mawarose by Mawar Rashid teringat fitnah dan kritikan yang diterima selepas insiden GST itu.

“Saya dituduh bodoh. Tapi saya bukanlah bodoh. Saya dapat 4A masing-masing pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya dapat 5A.

“Andai saya tidak bijak, buat apa saya sambung pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan.

“Saya kumpul dan bina semangat dengan sokongan keluarga, peminat dan kawan-kawan. Saya jadi lebih kuat. Saya juga belajar berdiam diri dan buktikan dengan kejayaan dalam bidang diceburi,” katanya.

Pada pelancaran produk itu, Mawar turut memperkenalkan lagu ‘jingle’ berunsur K-pop ciptaan Amir Hassan. Lirik lagu itu dicipta Mawar; suaminya, Raf Yaakob; abangnya, Arfan dan Amir.

“Lagu ini akan dimuat naik di YouTube. Saya pernah merakamkan sebuah lagu untuk projek telefilem, dua tahun lalu.

“Insya-Allah jika ada rezeki, saya mahu merakamkan single komersial, suatu hari nanti,” katanya yang menjual produk kosmetik melalui mesin layan diri di sebuah lokasi, tidak lama lagi.

Berita Harian X